Assalamualaikum, pembuka bicara...

Selamat datang ke laman blog saya. Semoga anda semua mendapat sedikit ilmu yang berguna dari blog ini. Segala kekurangan amatlah dikesali, kerana yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu datangnya dari diri saya sendiri. Semoga semuanya berada di bawah naungan redha Illahi. InsyaAllah..

Isnin, November 09, 2009

Hikmah Membaca Al-Quran


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda :

"Apabila seseorang lelaki itu mati dan saudaranya sibuk dengan pengebumiannya, akan berdiri lelaki yang betul-betul tampan di bahagian kepalanya. Tatkala mayatnya dikafankan, lelaki tampan itu tadi akan berada pula di antara kain kafan dan si mati.

Selepas pengebumian, semua orang pulang ke rumah, saat itu, dua malaikat Mungkar dan Nakir, datang dalam kubur dan cuba memisahkan lelaki tampan ini supaya mereka boleh menyoal lelaki yang telah meninggal itu seorang diri mengenai ketaatannya kepada Allah. Namun, lelaki tampan itu berkata, "Dia adalah temanku, dia adalah kawanku. Aku takkan meninggalkannya seorang diri walau apa pun berlaku . Jika kamu ditetapkan untuk menyoal, lakukanlah tugasmu. Aku tidak boleh meninggalkannya sehingga aku dapati dia dimasukkan ke dalam Syurga."

Selepas itu dia berpaling pada temannya (lelaki yang meninggal) dan berkata, "Aku adalah Al-Quran, yang mana kamu membacanya, kadang-kadang dengan suara yang nyaring dan kadang-kadang dengan suara yang perlahan. Jangan bimbang. Selepas soal siasat dari Mungkar dan Nakir, kamu tidak akan bersedih". Selepas soal siasat selesai, lelaki tampan tersebut mengaturkan untuk temannya yang meninggal itu daripada Al-Mala'ul A'laa (malaikat dalam Syurga) tempat tidur dari sutera yang dipenuhi wangian kasturi.

Rasulullah s.a.w bersabda lagi :
"Di hari pengadilan, di hadapan Allah, tiada syafaat yang lebih baik darjatnya daripada al-Quran, mahupun dari nabi atau malaikat."


Subhanallah...begitu hebat sekali ganjaran yang kita dapat apabila membaca al-Quran. Namun dunia hari ini terus-terusan menyaksikan insan yang sentiasa leka dan alpa terhadap suruhan dan tinggalan junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. Aku juga terkadang lupa apabila masa banyak ditumpukan pada kerja dan rutin sebagai seorang pelajar. Hanya setiap kali selepas subuh dan maghrib saja aku berpeluang mengalunkan ayat suci ini.

Alhamdulillah, aku bersyukur dilahirkan dalam keluarga yang mementingkan agama dan berterima kasih apabila emak dan ayah sentiasa menelefon dan mengingatkan aku tentang perkara ini. Tetap akan aku ingat setiap nasihat dari emak dan ayah yang tidak pernah jemu mengingatkan aku supaya menunaikan solat dan membaca al-Quran setiap hari. Terkadang aku berasa jemu mendengar nasihat yang sama hampir setiap hari dari mereka, namun apabila memikirkan bahawa nasihat ini adalah untuk kebaikan, aku ikhlas menerimanya dengan harapan supaya Allah s.w.t akan terus memberi hidayah-Nya kepadaku dan semua muslimin serta muslimat di dunia ini.

Buat semua temanku dan sesiapa sahaja yang telah melewati blog ini, sesungguhnya sebelum wafat, baginda Rasulullah s.a.w telah meninggalkan kepada kita semua sebagai umatnya dua perkara yang mana apabila kita berpegang teguh dengan dua perkara tersebut, kita akan selamat di dunia dan dari seksaan api neraka di akhirat. Dua perkara tersebut adalah al-Quran dan al-Hadis. Sebelum aku mengajak sahabat dan semua teman, pertamanya aku menyeru diriku sendiri dan seterusnya semua teman dan handai yang seagama, bersamalah kita mengalunkan ayat suci al-Quran, mukjizat junjungan besar kita yang dikasihi, kerana terlalu banyak faedahnya hingga tidak dapat siapapun menghitung melainkan Allah s.w.t.

InsyaAllah, semoga kita semua akan ditetapkan hati untuk menjadikan amalan membaca al-Quran ini sebagai rutin harian yang tidak akan berubah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan