CERPEN : SEBAHAGIAN YANG PERGI
Karya : Noraini Binti Ismail
Sekolah Kebangsaan Kuala Tiga tersergam indah di hadapanku kini.
Setinggi-tinggi kesyukuran aku panjatkan pada satu-satunya Tuhan Yang Esa
terhadap kejayaan yang dianugerahkan padaku. Setelah sekian lama aku berpenat
lelah mengejar ilmu di puncak menara gading, akhirnya hari ini aku sudah pun
bergelar seorang guru. Satu gelaran yang aku idam-idamkan sejak usiaku mula
menginjak ke angka lima belas tahun. Aku melangkah yakin menuju ke arah pejabat
untuk menanda kehadiranku ke sekolah. Hari ini aku bagaikan bersemangat untuk
meneruskan perjuanganku mendidik setiap anak-anak yang datang ke sekolah demi
secangkir ilmu. Dengan busana muslimah hijau muda yang tersarung di tubuh, aku
bagaikan mendapat kekuatan dan ketenangan untuk meneruskan amanah dan janji
yang tergalas di bahuku sebagai seorang pendidik.
Selesai sahaja urusanku di pejabat,
aku terus berlalu menuju ke arah bilik guru yang terletak di tingkat bawah
berhadapan dengan bangunan pejabat sekolah. Suasana pagi di sekolah agak bising
sedikit. Murid-murid yang baru sampai masing-masing ingin segera masuk ke kelas
meletakkan beg sebelum berlalu ke kantin untuk menikmati sarapan pagi yang
disediakan. Rancangan Makanan Tambahan Sekolah (RMTS) memang disediakan khas
untuk murid-murid yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan dari segi
pendapatan harian.
Aku menyusun sedikit buku yang agak
berselerak di atas meja sebelum menyemak kembali perancangan mengajar yang
telah aku siapkan semalam. Hari ini jadual mengajarku agak padat. Menurut Kak
Maimun, guru yang mengajar mata pelajaran Sains, keadaan ini merupakan perkara
biasa bagi seseorang yang baru bergelar guru seperti diriku. Namun hal tersebut
tidak akan mematahkan semangatku kerana aku sedar semua ini adalah sebagai
langkah yang dilakukan oleh pihak atasan untuk mengukir dan membentuk
pengalaman dalam diri kami.
Selesai menyemak perancangan
mengajar untuk hari ini, aku menyemak pula buku-buku latihan pelajar yang
dipungut semalam. Dari sebuah buku aku beralih pula kepada buku yang lain.
Bibirku mula mengukir senyuman apabila memeriksa latihan karangan yang dibuat
oleh anak-anak muridku. Mereka semakin bijak mencari isi dan menghuraikannya
dengan idea-idea yang bernas. Lalu aku memasang tekad untuk memberi didikan
kepada mereka dengan lebih gigih supaya tahap pembelajaran mereka akan semakin
meningkat pada masa akan datang.
Mataku tiba-tiba terpaku pada sebuah
buku latihan milik salah seorang anak muridku yang baru sebulan lebih berpindah
ke Sekolah Kebangsaan Kuala Tiga ini. Buku yang kedua terakhir untuk disemak.
Mohd Adam Hafiz. Abang kepada pasangan kembarnya, Mohd Adam Mukhriz. Fikiranku
mula terbang mengingatkan pasangan beradik yang sering membuat hatiku
tertanya-tanya dan membuat pelbagai kesimpulan yang ada ketikanya langsung
tidak dapat diterima akal. Kucapai juga buku si adik yang terakhir lalu
kuletakkan di sebelah buku latihan abangnya. Aku membanding-bandingkan karangan
yang telah dibuat oleh mereka berdua. Tajuk karangan “Keluargaku Syurgaku” yang
telah aku berikan kepada pelajar darjah Enam Juara sebagai kerja rumah banyak
membuat aku tercari-cari realiti sebenar yang terselindung di sebalik kehidupan
pasangan kembar ini.
Mataku masih tidak lepas dari terus
menatap karangan Hafiz dan Mukhriz di hadapanku. Karangan yang hampir sama
jalan ceritanya atau lebih tepat lagi karangan mereka berdua memang mengisahkan
tentang peristiwa yang sama walaupun olahannya berbeza yang membuktikan tiada
tanda-tanda mereka meniru untuk menyiapkan kerja rumah tersebut. Detik-detik
menggembirakan bersama ibu dan ayah hanya pada permulaan karangan sahaja
sedangkan bahagian pertengahan hinggalah pada bahagian penutup, karangan
pasangan kembar ini terus-terusan menceritakan kesedihan dan penderitaan yang
melanda dalam kehidupan mereka. Apakah penderitaan itu benar-benar berlaku atau
hanya sekadar rekaan semata-mata demi menyiapkan sebuah karangan? Jika hanya
rekaan, kenapa jalan cerita mereka berdua sama? Bahkan penderitaan yang
dirungkaikan juga sama. Apakah kerana mereka adalah adik-beradik kembar maka
naluri yang mereka miliki mempunyai persamaan atau semua yang berlaku hanya
kebetulan semata-mata? Aku amat yakin mereka tidak meniru karangan
masing-masing kerana olahan dan gaya penceritaan mereka berbeza walaupun
bagaikan berkongsi tema yang sama. Akal warasku masih lagi berada dalam kemelut
kehidupan Hafiz dan Mukhriz. Kutatap dan kubaca karangan si abang yang kemas
tulisannya. Sampai di pertengahan cerita, hatiku bagai disentuh oleh suatu
perasaan yang amat sukar untuk digambarkan.
Ibu dan ayah pergi meninggalkan
saya dan adik. Ayah cakap mahu membawa ibu ke klinik sekejap sahaja tapi ayah
dan ibu masih tidak pulang. Pakcik Hamdan yang tinggal di sebelah rumah kami
cakap ayah dan ibu sudah meninggal dunia. Ramai orang datang ke rumah untuk
melawat ayah dan ibu yang sedang tidur di ruang tamu. Pakcik Hamdan menutup
ayah dan ibu dengan kain corak-corak. Pakcik imam dekat masjid dan orang ramai
mengaji al-quran. Mak long menangis dengan kawan-kawan ayah dan ibu. Saya
memeluk adik. Kami duduk di sebelah ibu.
Waktu petang orang membawa
ayah dan ibu untuk ditanam. Pada waktu itu baru saya menangis. Adik juga turut
menangis. Adik pernah bertanya kenapa orang membawa ayah dan ibu dengan van
yang ada tulisan jawi? Pakcik Hamdan cakap ayah dan ibu ingin kembali pada
Tuhan Yang Maha Esa. Apabila ibu dan ayah pergi, tiada lagi keluarga saya yang
meriah dan bahagia. Saya dan adik sudah tidak menyebut “Keluargaku Syurgaku”
lagi. Kami sudah tiada keluarga seperti kawan-kawan di sekolah. Saya dan adik
sedih apabila kawan-kawan mengejek kami sebagai anak yatim piatu kerana tidak
mempunyai ayah dan ibu.
Tidak lama selepas
itu, mak long membawa kami pulang ke kampungnya. Kami tinggal bersama mak long
di Kampung Kuala Tiga. Kampung mak long cantik dan tenang. Tidak seperti di
Kuala Lumpur yang selalu bising dengan bunyi kereta. Sewaktu mula tiba di rumah
mak long, mereka sekeluarga amat baik dengan kami. Tapi selepas itu mak long
mula berubah. Mak long selalu pukul saya dan adik. Mak long juga menyuruh kami
membuat banyak kerja. Adik selalu beritahu bahawa dia penat tetapi kami takut
untuk berehat kerana mak long sentiasa memegang penyapu lidi di tangannya.
Kadang-kadang mak long memegang penyapu bulu ayam.
Aku terkesima seketika sebelum
menghabiskan bacaanku terhadap karangan Hafiz. Nada penceritaan yang
disampaikan bagaikan peristiwa tersebut benar-benar berlaku. Apakah semuanya
adalah realiti? Aku teruskan membaca karangan Hafiz sehingga habis sebelum
beralih pula pada karangan si adik iaitu Mukhriz. Sebuah karangan yang tidak
kurang menyayat hati sesiapa jua yang membacanya. Karangan si adik nadanya
lebih bersifat melankolik. Aku mengagak mungkin disebabkan oleh sikapnya yang
lebih manja berbanding abang yang bersikap seperti seorang pelindung. Naluri
wanitaku bagaikan tersentuh dengan setiap baris ayat yang ditulis oleh si adik.
Saya selalu ingat pada ibu dan
ayah. Pakcik Hamdan memberitahu saya dan abang bahawa ayah dan ibu pergi kerana
Tuhan lebih sayangkan mereka. Saya dan abang juga sangat sayangkan ibu dan
ayah. Saya selalu bertanya pada abang kenapa Tuhan tidak benarkan ibu dan ayah
tinggal bersama kami di rumah kerana kami juga sayang mereka. Tapi abang hanya
menyuruh saya bersabar dan berdoa seperti yang diajar oleh ayah selepas kami
menunaikan solat maghrib berjemaah bersama-sama dahulu. Kini saya sudah tidak
mempunyai keluarga seperti kawan-kawan di sekolah.
Saya dan abang selalu memberitahu ayah dan ibu “Keluargaku Syurgaku”
sebagai tanda kami sayang keluarga kami tetapi hari ini syurga saya sudah
pergi. Saya selalu bermimpi bertemu ayah dan ibu apabila tidur pada waktu
malam. Pada waktu pagi saya menceritakan pada abang. Abang juga memberitahu
saya dia turut bermimpi bertemu dengan ayah dan ibu. Selepas ayah dan ibu
meninggal, saya dan abang tinggal bersama dengan mak long di kampungnya. Pakcik
Hamdan memberitahu saya dan abang bahawa mak long seorang yang baik kerana
ingin menjaga kami. Selepas kami berpindah mengikut mak long, saya dan abang
tidak gembira. Mak long seperti ibu tiri dalam filem Laila Manja yang saya dan
abang tonton bersama ibu dan ayah dahulu.
Mak long selalu memukul kami dan menyuruh kami membuat kerja di rumah.
Semua yang berlaku membuat saya terkenang pada ayah dan ibu. Ayah dan ibu
selalu berpesan supaya berbuat baik pada orang lain dan jangan menyeksa
binatang. Tetapi mak long tidak berlaku baik kepada saya dan abang. Kawan-kawan
di sekolah memanggil saya dan abang sebagai anak yatim piatu. Guru pernah
memberitahu kami bahawa kita tidak boleh berlaku jahat terhadap anak yatim
piatu kerana akan dimarahi oleh Tuhan. Saya sedih apabila mak long berlaku
tidak baik kepada saya dan abang walaupun mak long juga tahu bahawa kami anak
yatim piatu.
Setiap hari apabila pergi ke sekolah saya dan abang melihat kawan-kawan
akan dihantar oleh ibu dan ayah mereka. Saya dan abang terpaksa berjalan kaki
pergi ke sekolah walaupun jauh kerana pak long tidak pernah mahu menghantar
kami seperti dia menghantar sepupu kami dengan kereta. Saya memberitahu abang
bahawa pak long tidak berbuat baik kerana mengambil kereta ayah dan ibu untuk
menghantar sepupu kami ke sekolah. Pakcik Hamdan pernah memberitahu saya bahawa
kereta ayah dan ibu akan menjadi kereta saya dan abang suatu hari nanti tetapi
mak long dan pak long memarahi kami apabila saya memberitahu perkara tersebut
kepada abang.
Aku menekup mulut secara drastik
apabila membaca setiap baris cerita yang ditulis oleh Mukhriz sehingga selesai.
Hatiku berdegup kencang apabila melihat jalan cerita pasangan kembar ini.
Fikiranku bagaikan yakin menyimpulkan bahawa setiap cerita yang tercoret dalam
karangan Hafiz dan Mukhriz adalah realiti dan bukan rekaan kerana aku pernah
memberitahu kepada setiap muridku dalam kelas Enam Juara supaya menceritakan
pengalaman sendiri bersama keluarga. Mustahil jika si kembar hanya mereka-reka
cerita kerana aku pernah terdengar seorang pakar motivasi iaitu Dato’ Dr.
Fadzhilah Kamsah berkata bahawa kanak-kanak tidak akan menipu untuk setiap
perkara yang benar-benar memberi kesan kepada mereka. Pernyataan tersebut
membuatkan aku semakin yakin bahawa apa yang telah diceritakan oleh Hafiz dan
Mukhriz dalam karangan mereka adalah suatu kisah benar yang telah banyak
memberikan kesan dalam hidup mereka berdua.
Jam di pergelangan tangan kiri kukerling sekilas. Sudah hampir pukul
sembilan lima belas minit pagi. Aku harus memasuki kelas Enam Juara untuk sesi
mengajar. Buku-buku latihan menulis karangan yang telah siap kusemak kubawa
bersama ke kelas tersebut. Kelas yang didalamnya terdapat dua orang murid
kembar yang sering menguis dan menarik fikiranku kearah mereka. Dengan lafaz
mulia kalimah basmalah dan
langkahan kaki kanan sebagai permulaan, aku menapak masuk ke kelas Enam Juara.
Murid-murid berdiri dan memberikan salam diiringi bacaan doa sebagai memohon
keberkatan dan dibukakan pintu hati sebelum menerima ilmu. Mereka memang
berdisiplin dan patuh.
Pengajaran berjalan dengan lancar.
Murid-murid masing-masing begitu banyak bertanya tentang perkara yang tidak
mereka fahami. Begitulah yang sering aku nasihatkan pada mereka setiap hari.
Sentiasa bertanya apa saja yang membuat fikiran kita buntu sebelum tersesat
lebih jauh. Syukur kepada Tuhan, mereka adalah murid yang sering mendengar
nasihat dan memanfaatkan tunjuk ajar dari para guru.
Lebih satu jam masa berlalu, sebelum
melangkah keluar dari kelas Enam Juara, aku memanggil Hafiz dan kembarnya
datang ke meja guru. Aku minta agar mereka berjumpa denganku di bilik guru
apabila waktu pulang dari sekolah nanti. Sekali lagi fikiranku mula menerawang
mencari kepastian apabila mendengar jawapan dari mereka berdua. Jawapan ikhlas dari
anak kecil yang tidak tahu erti sebuah penipuan.
“Abang, adik tak nak pergi jumpa
Cikgu Aisyah waktu balik sekolah nanti. Adik takut. Nanti mak long pukul adik
lagi kalau balik lambat”, Mukhriz berbisik di telinga abangnya namun apalah
ertinya bisikan itu kerana telingaku mudah sahaja menangkap apa yang telah
dikatakan.
“Abang pun takut juga. Tapi kita
kena jumpa Cikgu Aisyah. Kita tak boleh lawan cakap cikgu. Bukankah ibu dah
pesan pada kita dulu. Tuhan marah kalau kita derhaka pada cikgu”, ya Tuhan,
lembut sahaja nada suara si abang memujuk adik yang keresahan. Gelagat mereka
berdua di hadapanku ini mula menarik minatku untuk terus mendekati kehidupan
sebenar mereka berdua.
“Macam ni sajalah, Hafiz, Mukhriz.
Balik sekolah nanti kamu berdua jumpa cikgu di bilik guru. Ada perkara cikgu
nak cakap dengan kamu berdua. Nanti biar cikgu hantar kamu berdua balik ke
rumah dan beritahu pada mak long kenapa kamu balik lewat supaya kamu berdua
tidak kena marah”, aku mengukir sebuah senyuman semanis mungkin kepada dua
orang pelajar di hadapanku ini. Harapanku agar mereka bersetuju dengan
cadanganku nanti. Kulihat abang memegang tangan adiknya lalu mereka
bersama-sama menganggukkan kepala tanda setuju. Senyumanku semakin mekar.
* * *
* *
“Selamat tengahari, Aisyah”, satu
sapaan yang tidak pernah diduga memeranjatkan aku yang sedang leka menilai
prestasi pembelajaran Hafiz dan Mukhriz. Aku mendongakkan kepala sambil
memandang pada Kenny Lee yang berdiri tepat di hadapan mejaku.
“Selamat tengahari, Kenny. Ada
apa-apa ke cari saya ni?”. Aku mula berbasa-basi sambil tanganku menunjukkan
kerusi kepada Kenny Lee sebagai isyarat mempelawanya duduk. Ada sebuah buku di
tangannya.
“Aisyah, saya sebenarnya ingin memberitahu awak tentang apa yang
berlaku pada tahap pencapaian murid kelas awak, Hafiz dan Mukhriz. Pasangan
kembar yang baru sebulan lebih berpindah ke mari. Saya rasa amat perlu untuk
membincangkan perkara ini memandangkan awak adalah guru kelas Enam Juara”, aku
lihat Kenny Lee begitu berhati-hati menyusun ayat. Apakah ada sesuatu yang
kurang sedap di dengar akan diperkatakan padaku nanti berkenaan pasangan kembar
yang sering menarik perhatianku selama ini?
“Apa yang ingin dibincangkan, Kenny? Murid kelas saya ada masalah ke?”,
aku mula keresahan apabila memikirkan tentang murid kembarku ini.
“Begini, Aisyah. Saya telah banyak perhatikan gelagat dua beradik ini
sewaktu dalam kelas Matematik. Setiap kali saya mengajar, mereka seolah-olah
hilang daya tumpuan dan minat terhadap apa yang saya ajarkan. Prestasi mereka
juga semakin lemah dalam pembelajaran. Tidakkah awak merasakan sesuatu yang
agak mustahil melihat murid pintar dari pusat bandar menjadi pasif apabila
berada dalam kalangan murid-murid lain yang berasal dari kampung? Saya berasa
bagaikan ada perkara yang tersirat di sebalik kehidupan Hafiz dan adiknya.
Tidakkah awak merasakan perkara yang sama, Aisyah?”, aku hanya memandang Kenny
Lee yang kelihatan serius di hadapanku. Soalan yang diutarakan olehnya sebentar
tadi mula meresap ke dalam diri.
Aku mencapai buku rekod pelajar di sebelah kanan mejaku. Sebelum Kenny
Lee datang ke mejaku sebentar tadi, aku sebenarnya telah memikirkan hal yang
sama. Bukan sahaja dalam mata pelajaran Matematik yang diajar oleh Kenny Lee,
tetapi juga mata pelajaran yang diajar olehku sendiri iaitu Bahasa Melayu.
Bahkan sebelum Kenny Lee, terdapat juga beberapa orang guru yang mengajar mata
pelajaran lain datang berjumpa denganku dan memberitahu perkara yang sama iaitu
perihal kemerosotan prestasi pembelajaran Hafiz dan Mukhriz berbanding sewaktu
mereka bersekolah di Kuala Lumpur lebih sebulan yang lalu. Aku turut merasakan
bahawa ada sesuatu yang menjadi pendorong kepada perubahan mendadak Hafiz dan
Mukhriz ini.
“Sebenarnya bukan awak sahaja yang
merasakan perubahan ini, Kenny. Kak Maimun, Ustaz Ramli, Sumathi dan saya
sendiri juga turut perasan dengan perubahan yang berlaku pada Hafiz dan
Mukhriz”, aku memberitahu Kenny Lee tentang kerisauan guru-guru yang lain
terhadap perkara yang juga turut merisaukannya. Kulihat Kenny Lee menarik nafas
dalam dan melepaskannya perlahan bersama satu keluhan. Apabila melihat Kenny
Lee yang bagaikan terkunci mulutnya, aku terus menyambung kata.
“Sudah lama saya perhatikan sikap
pasangan kembar ini waktu berada dalam kelas. Mereka tidak seperti murid-murid
yang lain yang aktif dan galak bertanya. Hafiz dan Mukhriz banyak berdiam diri,
selalu mempamerkan wajah yang ketakutan apabila ditegur dan tidak bergaul
dengan rakan-rakan. Saya ada sesuatu yang ingin ditunjukkan kepada awak”, aku mengambil
buku latihan karangan Hafiz dan Mukhriz. Sengaja tidak aku serahkan kepada
mereka berdua dalam kelas pagi tadi kerana aku masih ingin meneliti hasil
karangan mereka berdua. Bahagian tajuk karangan “Keluargaku Syurgaku” pada
kedua-dua buah buku latihan tersebut kubuka lalu kuberikan kepada Kenny Lee.
Guru Matematik yang sedang duduk di hadapanku kini memandang tepat ke mataku,
meminta pengertian terhadap apa yang aku lakukan padanya.
“Ini adalah karangan yang telah
ditulis oleh pasangan kembar tersebut. Cubalah awak baca tajuk karangan
“Keluargaku Syurgaku” yang saya suruh mereka buat beberapa hari yang lepas. Ada
persamaan dalam cerita mereka berdua. Tapi saya tidak merasakan bahawa mereka
meniru kerana olahan cerita mereka berbeza”, aku memberi keterangan kepada
Kenny Lee tentang apa yang telah aku fikir dan semak selama ini berkenaan Hafiz
dan adik kembarnya Mukhriz.
Kenny Lee membaca setiap karangan
murid kembarku yang tercoret dalam buku latihan di tangannya. Sesekali aku
melihat dia mengerutkan dahi dan menggelengkan kepala beberapa kali. Mungkin
dia juga turut merasakan apa yang aku rasa tatkala membaca karangan yang dibuat
oleh Hafiz dan Mukhriz.
“Cerita mereka berdua tidak seperti
karangan biasa. Ia seolah-olah seperti kisah yang benar-benar berlaku dalam
kehidupan mereka berdua. Saya rasa seperti ada perkara yang tidak sepatutnya
berlaku yang menimpa pasangan kembar ini. Apa pendapat awak Aisyah?”, Kenny Lee
memandang ke arahku sambil tangannya menutup kembali buku latihan Hafiz dan
Mukhriz sebelum diserahkan kembali kepadaku.
“Saya juga berasa begitu. Waktu
pulang dari sekolah nanti saya akan berjumpa dengan Hafiz dan Mukhriz di sini.
Awak mahu sertai saya? Ada beberapa perkara yang ingin saya tanya kepada mereka
berdua tentang perubahan yang berlaku pada diri mereka. Mungkin kita akan
mendapat jawapan terhadap kemusykilan yang mengusutkan fikiran kerana saya
yakin kanak-kanak tidak pandai menipu”, aku mempelawa Kenny Lee untuk turut
serta berjumpa dengan pasangan kembar yang menjadi topik perbincangan kami
berdua. Kenny Lee menganggukkan kepalanya beberapa kali sebagai tanda
bersetuju. Aku mengukir kuntuman senyum. Semakin lama semakin mekar.
* * *
* *
Hafiz dan Mukhriz menundukkan wajah
masing-masing apabila pandangan mata mereka bertembung denganku. Si adik asyik
memeluk dan menarik lengan abangnya. Tidak ubah seperti orang yang ketakutan
terhadap sesuatu. Aku memandang Kenny Lee yang duduk tidak jauh di sebelahku
sebelum kembali memandang pasangan kembar di hadapan. Satu senyuman kuhulurkan
kepada Hafiz yang sedang memandangku.
“Hafiz dan Mukhriz apa khabar?”, aku
memecahkan kesunyian yang baru tercipta di antara kami dengan bertanya khabar
murid di hadapanku.
“Khabar baik, cikgu”, Hafiz menjawab
sopan. Adiknya hanya berdiam diri.
“Hafiz dan Mukhriz tahu atau tidak
kenapa cikgu panggil awak berdua datang berjumpa dengan cikgu?”, aku terus
melontarkan soalan. Tidak mahu masa terus terbuang tanpa apa-apa maklumat yang
diperolehi. Hafiz dan Mukhriz hanya menggelengkan kepala serentak. Aku
memandang Kenny Lee di sebelah dan kami hanya tersenyum hambar.
“Sebenarnya cikgu ingin tahu sesuatu
tentang karangan awak berdua yang cikgu suruh siapkan tempoh hari. Karangan
awak berdua nampak seperti sama jalan ceritanya. Adakah awak berdua meniru
karangan masing-masing?”, aku mengutarakan kemusykilan yang bermain di
fikiranku. Walaupun hatiku kuat mengatakan bahawa mereka membuat karangan
masing-masing tanpa meniru sesama sendiri namun aku masih tetap mahu bertanya
agar tafsiran yang aku buat sendiri tidak terpesong.
“Tidak, cikgu. Kami tidak meniru.
Saya buat sendiri karangan itu bersama adik sebelum kami tidur”, Hafiz
menyangkal sangkaanku sebentar tadi.
“Saya tidak meniru karangan abang.
Semuanya kami buat sendiri. Ibu dan ayah pun tidak suka kami meniru walaupun
kami kembar dan banyak persamaan”, si adik pula mencelah menguatkan lagi
tekaanku bahawa apa yang aku sangkakan sebentar tadi ternyata meleset.
“Pukul berapa awak berdua siapkan
karangan yang cikgu berikan?”, aku bertanya lagi. Ada sesuatu yang membuat aku
tertanya-tanya tentang murid di hadapanku ini.
“Pukul sebelas, cikgu. Sebelum kami
tidur”, si abang lagi yang menjawab.
“Kenapa terlalu lewat awak berdua
menyiapkan kerja rumah? Seharusnya awak berdua siapkan dari awal lagi kerana
pukul sebelas malam adalah waktu tidur awak berdua. Apa yang awak berdua
lakukan pada waktu petang sehingga terpaksa siapkan kerja rumah pada waktu
malam?”, aku mula mengasak pasangan kembar di hadapanku ini dengan pertanyaan
lagi. Hafiz memandang adiknya sebelum melemparkan pandangannya ke arahku.
“Err..maafkan kami, cikgu. Kami leka
bermain pada waktu petang sehingga lupa tentang kerja rumah yang perlu kami
siapkan”, begitu gugup si abang menjawab pertanyaanku seperti ada sesuatu yang
disembunyikan. Namun belum sempat aku meneruskan kata, Mukhriz terlebih dahulu
mencelah memarahi abangnya.
“Abang tipu. Abang dah lupakah apa
ibu pesan? Kita tidak boleh bercakap bohong dengan orang lebih-lebih lagi
dengan ibu ayah dan cikgu kita”, aku memandang Hafiz dengan wajah yang penuh
persoalan setelah mendengar apa yang Mukhriz katakan sebentar tadi. Hafiz hanya
menundukkan wajahnya.
“Betul apa yang adik awak katakan
itu, Hafiz. Tidak baik kita bercakap bohong. Ingat tak dengan pantun masyarakat
Melayu dahulu, siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama
mencuri. Hafiz mahu jadi seperti dalam pantun itu?”, aku lihat Hafiz
menggelengkan kepalanya. Mukhriz juga melakukan perkara yang sama.
“Cuba Hafiz ceritakan pada cikgu apa
sebenarnya yang telah berlaku pada Hafiz dan Mukhriz. Cikgu lihat awak berdua
seperti orang ketakutan, tidak menumpukan perhatian dalam kelas, tidak bergaul
dengan rakan-rakan. Bahkan pelajaran awak berdua juga semakin merosot. Cikgu
dah cuba bandingkan keputusan pelajaran awak berdua sewaktu bersekolah di Kuala
Lumpur dengan sepanjang sebulan lebih awak berdua belajar di sini. Terlalu
berbeza. Cikgu yakin ada sesuatu yang berlaku pada awak berdua. Ceritalah pada
cikgu. Jangan takut. Cikgu janji tidak akan marah dan cikgu pasti akan tolong
awak berdua”, aku cuba memujuk kedua orang murid di hadapanku ini. Dalam
keadaan mereka yang seperti itu, tiada guna jika aku berkeras. Hanya pujukan
yang dapat menyelesaikan segala kekusutan.
“Mak long jahat”, satu pernyataan
yang amat memeranjatkan aku dan Kenny Lee keluar dari mulut si adik. Aku lihat
Hafiz mula menyiku lengan adiknya namun Mukhriz memasamkan muka. Marah dengan
abangnya barangkali.
“Kenapa Mukhriz cakap mak long jahat? Cuba
ceritakan pada cikgu. InsyaAllah nanti cikgu boleh tolong kalau Hafiz dan
Mukhriz perlukan pertolongan cikgu”, aku terus memujuk lagi. Keinginanku untuk
mengetahui cerita sebenar dengan lebih lanjut semakin membuak-buak.
“Mak long selalu pukul saya dan
abang. Setiap hari mak long suruh kami buat kerja sampai kami penat. Tapi mak
long tak bagi kami berehat. Kami tidak boleh makan selagi tidak buat kerja yang
mak long suruh. Mak long garang. Selalu marah-marah saya dan abang”, Mukhriz
telah memulakan cerita yang selama ini aku nanti-nantikan. Aku memandang Hafiz
yang berdiam diri. Aku anggukkan kepala kepadanya sebagai tanda aku inginkan
dia juga bercerita kepadaku.
“Mak long tidak pernah berikan kami
duit belanja bila datang ke sekolah. Kami terpaksa jalan kaki sedangkan Aiman
dengan Siti pak long hantar dengan kereta ayah. Kadang-kadang pak long guna
kereta ibu. Saya dan adik penat kerana mak long tidak sediakan sarapan untuk
kami. Pulang ke rumah mak long suruh kami buat kerja rumah sebab mak long cakap
sebagai upah mereka jaga kami selepas ibu dan ayah meninggal dunia. Saya dan
adik hanya dapat makan pada waktu petang. Jika kami tidak buat kerja, kami
tidak dapat makan pada waktu malam. Mak long cakap ibu dan ayah tidak
tinggalkan duit untuk kami tapi Pakcik Hamdan cakap ibu dan ayah sudah tinggalkan
banyak duit untuk kami belajar tapi kami tidak boleh pegang sendiri sebab kami
masih kecil”, Hafiz bercerita dengan panjang lebar sambil memegang tangan
adiknya. Aku dan Kenny Lee yang mendengar begitu terkejut dengan nasib yang
menimpa murid kembar di hadapan kami.
“Mak long selalu pukul saya dan
abang. Belakang abang sudah lebam. Paha saya juga lebam. Mak long pukul dengan
penyapu bulu ayam sebab saya dan abang curi makan di dapur waktu mak long
sedang tidur. Saya dan abang tidak mahu menjadi pencuri tapi saya dan abang
lapar”, sekali lagi aku terperanjat dengan pengakuan si adik. Aku memandang
Kenny Lee yang juga turut terkejut dengan apa yang telah di dengarnya.
“Boleh cikgu lihat kesan lebam di
badan kamu?”, Kenny Lee yang sejak tadi berdiam diri mula bersuara. Hafiz dan
Mukhriz mengangguk lalu bangun menanggalkan pakaian seragam sekolah mereka.
Ternganga mulutku tatkala melihat
tubuh kecil yang berbirat penuh hasil pukulan rotan bulu ayam. Air mataku
menitis melihat penderitaan yang di tanggung oleh kedua orang muridku. Tidak ku
sangka rupa-rupanya masih ada masyarakat kampung yang terkenal dengan
keharmonian dan kerukunan hidup yang mendera anak kecil. Bahkan yang paling
menyedihkan yang didera merupakan anak saudara sendiri yang masih kecil dan
yatim piatu. Tiada tempat untuk di tuju dalam dunia ini.
Aku meminta Hafiz dan Mukhriz
menyarungkan kembali pakaian mereka. Aku meminta nombor telefon Pakcik Hamdan
dari Hafiz. Nasib baik dia menghafal nombor bekas jiran dan sahabat baik
ayahnya itu. Kenny Lee memandang tindakanku dengan wajah yang penuh tanda
tanya. Aku menerangkan padanya bahawa aku ingin bertanyakan tentang pengurusan
harta arwah ayah dan ibu pasangan kembar tersebut. Aku dapat merasakan bahawa
harta itu menjadi punca utama kenapa Hafiz dan Mukhriz menjadi mangsa dera
berdasarkan apa yang telah diceritakan oleh si abang kepadaku dan Kenny Lee
sebentar tadi . Aku juga tidak mahu hak mereka jatuh ke tangan orang yang tidak
sepatutnya. Kenny Lee menganggukkan kepalanya beberapa kali.
Setelah siap Hafiz dan adiknya
berpakaian, aku menghantar mereka pulang ke rumah. Dari jauh aku melihat
seorang perempuan sedang berdiri di hadapan pintu rumah. Menurut Hafiz, itu
adalah mak long mereka. Mukhriz seperti mahu menangis kerana bimbang akan dipukul
lagi kerana lewat pulang ke rumah namun aku memujuk dan berjanji akan memberi
alasan kepada mak long mereka.
Aku menghentikan kereta di hadapan
rumah lalu keluar dan bersalaman dengan mak long Hafiz dan Mukhriz. Perempuan
tersebut kelihatan mesra menyambut kedatanganku dan kepulangan anak-anak
saudaranya.
“Saya minta maaf kerana Hafiz dan
Mukhriz lewat pulang hari ini. Akak janganlah risau sebab saya sebenarnya yang
minta mereka tolong kemaskan barang untuk aktiviti sukan tahunan nanti. Mereka
berdua tidak merayau kemana-mana pun”, aku memberi alasan apabila perempuan di
hadapanku ini bertanya tentang kelewatan anak-anak saudaranya pulang ke rumah.
“Oh, tidak mengapa, cikgu. Saya
bangga sebenarnya jika mereka rajin menolong guru-guru di sekolah. Sekurang-kurangnya
mereka dapat pengalaman dan melakukan sesuatu yang berfaedah”, begitu lembut
wanita tersebut menuturkan kata-kata. Hafiz dan adiknya disuruh masuk ke dalam
rumah dan makan tengahari. Berbeza sekali dengan apa yang diceritakan oleh
Hafiz dan Mukhriz tentang perwatakannya kepadaku jika dibandingkan dengan apa
yang aku lihat sekarang. Aku membuat andaian bahawa semua ini hanya lakonan
untuk mengaburi mataku dari mengetahui perkara yang sebenar. Setelah berbual
seketika dengan emak saudara Hafiz dan adiknya ini, aku meminta diri untuk
berlalu pulang ke rumah.
* * *
* *
Aku mendail nombor telefon yang
telah diberikan oleh Hafiz tengahari tadi beberapa kali. Setelah beberapa
ketika menunggu, akhirnya gagang telefon di sebelah sana diangkat juga. Aku
memberi salam dan memperkenalkan diri sebagai guru kelas Hafiz dan Mukhriz di
sekolah baru mereka. Syukur kepada tuhan, aku dilayan dengan baik dan mesra
walaupun antara kami tidak pernah bersua muka.
Aku terus menjelaskan tentang tujuan
aku menelefon pada malam tersebut setelah niat sebenarku ditanya terlebih
dahulu oleh Encik Hamdan. Aku menceritakan tentang apa yang telah berlaku
terhadap kedua pasangan kembar tersebut dan bertanya tentang peguam yang
menguruskan harta peninggalan arwah ayah dan ibu si kembar. Sekali lagi aku
melafazkan kata syukur kepada Yang Esa kerana rupa-rupanya Encik Hamdan ialah
seorang peguam yang menguruskan segala harta peninggalan tersebut.
Kami kemudian mengambil kata sepakat
untuk menyiasat perkara sebenar yang telah berlaku sebelum mengambil tindakan
undang-undang jika ia bukan cerita rekaan semata-mata oleh anak muridku.
* * *
* *
Hari ini, selepas waktu persekolahan
tamat, aku tidak terus pulang ke rumah. Hasrat hatiku ingin pergi ke rumah emak
saudara Hafiz dan Mukhriz tapi secara senyap dan tidak diketahui oleh
sesiapapun. Aku ingin melihat sendiri tentang kebenaran cerita yang disampaikan
oleh murid kembarku tempoh hari. Aku mengajak Kenny Lee sebagai teman kerana
hanya kami berdua sahaja yang tahu kisah yang tersirat ini.
Aku menghentikan kereta jauh dari
rumah emak saudara Hafiz dan Mukhriz. Kami berdua berjalan kaki dan memerhati
kawasan rumah tersebut dari jauh. Mujur rumah emak saudara anak murid kembarku
ini agak berjauhan dari rumah jiran-jiran yang lain. Jika tidak pasti akan
menimbulkan kesulitan apabila ada mata yang memandang tindakan kami nanti.
Dari jauh aku mendengar suara
perempuan yang sedang galak memarahi seseorang. Aku menyuruh Kenny Lee supaya
memberi tumpuan terhadap apa yang aku dengar. Ada suara kanak-kanak menangis
meminta maaf dan menjerit kesakitan akibat dipukul. Aku segera membuat andaian
bahawa pasti Hafiz dan adiknya yang dipukul oleh emak saudara mereka kerana
suara yang menjerit itu bagaikan sudah sebati dengan pendengaranku namun aku
tidak berani untuk menyerbu masuk ke rumah tersebut. Bimbang jika tindakanku
nanti akan lebih memburukkan keadaan. Yang paling aku bimbangkan ialah Hafiz
dan Mukhriz akan lebih teruk dipukul oleh emak saudara mereka jika dia tahu
tindakannya telah diceritakan oleh kedua beradik kembar tersebut kepadaku.
Aku dan Kenny Lee segera berlalu
dari tempat kami berdiri. Aku berjalan ke kereta dengan air mata yang bagaikan
mutiara yang lerai dari karangan. Sebak hatiku mendengar suara anak didik yang
menjerit kesakitan. Di manakah sifat keibuan dalam diri emak saudara mereka
berdua hingga sanggup melakukan perkara yang tidak berperikemanusiaan itu? Aku
terus menangis tapi lebih perlahan kerana Kenny Lee sudah duduk di sebelahku
dalam kereta yang aku pandu.
* * *
* *
Aku melangkah masuk ke kelas Enam
Juara dengan seribu persoalan yang bermain di fikiran. Semuanya berkaitan
dengan anak murid kembarku. Selepas semua murid selesai memberi salam dan
membaca doa seperti biasa, aku terus mencari kelibat murid yang sering hadir
dalam kotak fikiran dan hatiku. Hanya Hafiz yang berada dalam kelas tersebut.
Tempat Mukhriz di sebelahnya kosong menandakan ketidakhadirannya ke sekolah
pada hari ini. Aku bertanya tentang Mukhriz kepada abangnya. Namun aku kaget
seketika apabila Hafiz terus berlari dan memelukku erat sambil menangis
teresak-esak.
Aku memujuk Hafiz supaya bertenang
dan berhenti menangis. Murid-murid yang lain hanya memandang perlakuan kami
tanpa seorang pun yang bersuara. Pelukan Hafiz semakin erat dan esakannya juga
semakin kuat sehingga air mataku hampir menitis bersama esakan anak kecil ini.
“Hafiz, kenapa awak menangis? Mana
Mukhriz? Kenapa adik awak tidak hadir ke sekolah?”, aku terus bertanyakan
beberapa soalan apabila tangisan Hafiz sudah sedikit reda. Namun bahunya masih
terhinjut-hinjut akibat dari tangisannya sebentar tadi.
“Cikgu, adik ada dekat hospital.
Semalam mak long pukul adik dengan teruk sebab adik dah pecahkan gelas mak long
yang mahal. Saya tolong adik tapi mak long pun pukul saya”, Hafiz bercerita
sambil menyapu air matanya yang masih bersisa.
“Ya, Allah! Betulkah apa yang awak
ceritakan ni, Hafiz?”, aku mengucap panjang apabila Hafiz menganggukkan
kepalanya beberapa kali.
“Adik pengsan sebab mak long tolak
adik sampai jatuh tangga. Pak long dah hantar adik pergi hospital tapi pak long
tidak benarkan saya ikut. Cikgu, saya ingin bersama adik. Saya tidak mahu adik
tinggalkan saya seperti ibu dan ayah. Saya sayang adik. Saya tidak ada sesiapa
lagi selain adik saya. Tolong saya, cikgu”, pilu hatiku mendengar suara
tangisan dan rintihan anak muridku yang banyak menderita ini.
Aku bangun dan memimpin tangan Hafiz
menuju ke bilik guru. Aku memberitahu Kenny Lee supaya menguruskan prosedur
untuk membawa Hafiz keluar dari sekolah pergi ke hospital. Kenny Lee juga turut
bersama kami dan dia menawarkan diri untuk memandu kereta. Aku mencapai telefon
bimbitku lalu menelefon nombor Encik Hamdan, peguam yang menguruskan tentang
perihal Hafiz dan Mukhriz. Setelah berbual dan menceritakan serba sedikit
perkara yang berlaku, aku menyerahkan telefon kepada Hafiz kerana Encik Hamdan
ingin berbual dengannya.
“Pakcik Hamdan ke? Pakcik, adik
pengsan. Adik ada dekat hospital. Pakcik cakap mak long baik tapi sebenarnya
mak long jahat. Mak long selalu pukul abang dan adik. Pakcik, adik sakit. Abang
takut adik pun pergi tinggalkan abang. Abang tidak mahu adik meninggal. Abang
tidak ada sesiapa lagi selain adik. Pakcik datanglah ke sini. Abang tunggu
pakcik”, tangisan Hafiz semakin kuat. Talian telefon dimatikan. Aku memeluk
Hafiz yang semakin kuat esakannya sementara Kenny Lee meningkatkan kelajuan
kereta yang dipandunya supaya segera tiba ke destinasi.
Dua puluh minit kemudian, kami
bertiga akhirnya tiba di hospital yang menempatkan Mukhriz. Satu-satunya
hospital yang terdapat di bandar ini. Aku memimpin tangan Hafiz lalu bersegera
ke kaunter pertanyan. Sesudah mendapatkan maklumat tentang bilik Mukhriz
ditempatkan, kami bertiga bergegas menekan lif untuk menuju ke tingkat dua.
Mukhriz telah ditempatkan dalam sebuah bilik yang agak terpisah daripada
pesakit yang lain. Mungkin kerana kecederaan yang dialami atau kes yang berlaku
terhadapnya bakal melibatkan pihak berkuasa untuk campur tangan.
“Adiiikk!!!”, Hafiz terus menjerit
dan berlari mendapatkan adiknya yang terbaring lesu di atas katil wad. Sambil
memeluk adiknya, Hafiz menangis teresak-esak. Memohon agar dirinya tidak
ditinggalkan. Aku memusingkan badan ke arah lain. Sebak hatiku datang
bertandang tatkala melihat kesayuan yang terpampang di hadapan mata. Begitu tinggi nilai kasih sayang antara dua
beradik yang berada di hadapanku kini. Dalam hati aku menyumpah mak long mereka
yang langsung tidak mempunyai sikap perikemanusiaan dan nilai kasih sayang
sehingga sanggup mendera anak kecil yang masih belum mengenal liku-liku dan
cabaran hidup yang sebenar.
“Adik, jangan tinggalkan abang.
Nanti abang tidak ada sesiapa lagi kalau adik pergi. Adik kena kuat. Adik kena
cepat sembuh. Nanti kita boleh belajar sama-sama. Adik jangan pergi, ya”, Hafiz
menggenggam erat tangan adiknya. Mukhriz yang kelihatan lesu dan tidak bermaya
masih cuba untuk mengukirkan senyuman buat satu-satunya abang tersayang.
“Abang, semalam adik mimpi jumpa ibu
dan ayah. Ibu datang usap rambut adik. Dulu, kalau adik mimpi jumpa ibu dan
ayah, abang pun mesti mimpi jumpa dengan mereka juga. Abang tak mimpi jumpa
dengan ibu dan ayah ke semalam?”, Mukhriz memandang abangnya dan bercerita
tentang mimpinya bertemu ibu dan ayah. Senyuman yang terukir di bibirnya
kelihatan begitu tawar. Kemanisannya sudah ditelan oleh rasa sakit akibat
perbuatan zalim emak saudara sendiri.
Hafiz menggelengkan kepalanya
beberapa kali setelah adiknya mengajukan pertanyaan. Menunjukkan bahawa dia
tidak bermimpi bertemu dengan ibu dan ayahnya semalam. Tangannya masih erat
memeluk adiknya yang terbaring di atas katil.
“Abang, semalam ibu dan ayah datang
ajak adik pergi. Adik nak ikut ibu dan ayah. Adik tak nak lagi tinggal dengan
mak long. Mak long jahat. Mak long selalu pukul kita. Adik sakit bila mak long
pukul”, Mukhriz terus-terusan bercerita dengan abangnya. Aku memandang Kenny
Lee yang kelihatan menyeka air matanya. Mungkin dia juga sama sepertiku, tidak
tertahan melihat pasangan kembar di hadapan kami mempamerkan rasa kasih dan
sayang yang terukir di hati mereka. Perasaan yang sedia ada untuk diri mereka
dua beradik.
“Adik tidak boleh pergi ikut ibu dan
ayah. Nanti kalau adik pergi, abang tidak ada sesiapa lagi. Abang sayang adik.
Adik tidak boleh tinggalkan abang. Abang nak adik ada dengan abang”, begitu
sayu suara si abang memujuk adiknya. Benarlah kata pensyarahku, Encik Ariff,
sewaktu aku belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris dahulu, dunia
kadang-kadang perlu membuka mata dan belajar erti kasih sayang dari insan yang
bergelar kanak-kanak. Kerana hanya kanak-kanak yang tahu menghargai kasih
sayang dan hanya kanak-kanak juga yang memiliki sekeping hati yang sarat dengan
kasih sayang. Hari ni, aku telah melihat sendiri kebenaran kata-kata
pensyarahku itu apabila sepasang kanak-kanak kembar di hadapanku ini
mempamerkan betapa bernilainya kasih sayang yang semakin pudar dalam hati
masyarakat dewasa hari ini.
Tiba-tiba masuk seorang doktor
bersama beberapa orang anggota polis menuju ke arah katil tempat Mukhriz
terbaring lesu tanpa kekuatan melainkan tiupan semangat dari abang yang setia
menemaninya. Sebuah senyuman yang amat manis diberikan oleh doktor lelaki
tersebut kepada Hafiz dan Mukhriz yang sedang terbaring. Doktor muda itu
berbual-bual seketika dengan pasangan kembar tersebut, bertanya khabar dan
kemudian memeriksa keadaan Mukhriz. Aku dan Kenny Lee hanya memerhati sahaja
gelagat mereka sebelum seorang pegawai polis yang lengkap beruniform datang
menyapaku.
“Cik ni siapa? Kakak kepada mangsa
ke?”, aku terkejut apabila pegawai polis tersebut menyangka bahawa aku adalah
kakak kepada Hafiz dan Mukhriz. Namun aku segera membetulkan tekaan pegawai
polis tersebut.
“Tidak, tuan. Saya Nurul Aisyah,
guru kelas mereka berdua. Yang ini Kenny Lee, guru yang mengajar mereka subjek
Matematik”, aku turut memperkenalkan Kenny Lee kepada pegawai polis tersebut.
Dia menghulurkan tangan bersalaman dengan rakan sejawatku yang berdiam diri
memerhati keheningan suasana sejak dari tadi.
“Oh, baguslah. Nanti saya boleh
mendapatkan bantuan dari cikgu berdua berkenaan kes penderaan ini”, pegawai
tersebut menerangkan tentang pertolongan yang diperlukan untuk membantu
siasatan. Aku dan Kenny Lee mengangguk bersetuju lalu menceritakan perkara
sebenar yang kami tahu telah berlaku kepada pasangan kembar tersebut. Semua
cerita tentang karangan Hafiz dan Mukhriz, cerita yang disampaikan oleh
pasangan kembar tersebut kepadaku dan Kenny Lee selepas waktu pulang dari
sekolah dahulu, kesan lebam di tubuh mereka berdua yang aku lihat serta
peristiwa aku dan Kenny Lee pergi ke rumah emak saudara kedua anak muridku ini
tanpa pengetahuan sesiapa aku
khabarkan kepada pegawai polis tersebut. Kelihatan dia dan pembantunya tangkas
mencatit beberapa maklumat penting untuk membantu siasatan mereka.
Selepas selesai aku menceritakan apa
yang aku ketahui, pegawai tersebut seterusnya mendapatkan Hafiz dan adiknya
untuk bertanyakan peristiwa yang telah berlaku terhadap mereka. Hafiz yang
lebih banyak bercerita kerana Mukhriz masih lagi tidak dapat bertutur dengan
lebih jelas. Apabila selesai mendapatkan beberapa maklumat yang diperlukan,
beberapa pegawai polis tadi segera berlalu bersama doktor yang datang bersama
mereka sebentar tadi.
Aku berlalu ke arah katil dan
mendapatkan Hafiz serta Mukhriz. Jam di pergelangan tanganku sudah hampir
menunjukkan angka 10.45 pagi. Aku mengajak Hafiz untuk turun ke kantin supaya
dapat mengisi perut. Bimbang pula jika si abang tersebut turut sakit kerana aku
yakin dia masih belum menjamah sebarang makanan untuk mengalas perutnya. Namun Hafiz
enggan meninggalkan adiknya seorang diri. Tambahan pula Mukhriz meminta agar
ditinggalkan Hafiz bersamanya kerana mereka ingin bersama-sama untuk seketika.
“Cikgu, biarlah abang tinggal dengan
saya di sini. Saya ingin bersama-sama dengan abang sebentar. Nanti lepas saya
tidur, cikgu jagalah abang. Boleh, cikgu?”, Mukhriz meminta dengan suaranya
yang lemah. Aku segera menganggukkan kepala. Tidak sampai hati untuk
menghampakan permintaan anak muridku yang sedang menanggung penderitaan itu.
Aku berlalu keluar bersama Kenny Lee menuju ke kantin hospital tersebut dengan
janji akan datang kembali bersama makanan untuk si abang.
* * *
* *
Hampir setengah jam aku dan Kenny
Lee berada di kantin hospital, kami akhirnya naik kembali ke tingkat dua
bersama-sama makanan untuk Hafiz. Sesampai sahaja aku di bilik tempat Mukhriz
diletakkan, sesuatu yang langsung tidak pernah terbayang di fikiranku datang
menerpa. Hafiz meraung-raung sambil ditenangkan oleh doktor yang datang bersama
beberapa orang anggota polis sebentar tadi dan beberapa orang jururawat. Apa
sebenarnya yang telah berlaku?
Aku kaget seketika apabila Hafiz
datang ke arahku dan memelukku erat. Tangisannya semakin kuat memecah
keheningan ruang wad tempat adiknya terbaring lesu. Aku duduk melutut supaya
ketinggianku sama dengan Hafiz lalu aku peluk dan usap rambutnya. Memujuknya
agar bertenang dan berhenti menangis.
“Cikgu, adik dah tak ada. Adik dah
pergi tinggalkan saya. Adik dah pergi ikut ibu dan ayah. Saya sudah kehilangan
semua orang yang saya sayang. Saya sudah tidak ada sesiapa lagi, cikgu. Adik
dah janji mahu tinggal bersama-sama saya. Tapi adik pergi juga ikut ibu dan
ayah”, tangisan Hafiz semakin menjadi-jadi. Ya, Tuhan. Bagaimana lagi harus aku
lakukan untuk memujuk anak kecil yang malang ini. Berikanlah kekuatan dan
ketenangan kepadanya. Ujian seperti ini terlalu berat untuk dipikul oleh
seorang anak kecil yang berusia dua belas tahun. Setengah jam yang lalu aku
keluar dari bilik wad ini meninggalkan Mukhriz yang sedang berbual dengan
abangnya, kini aku kembali semula ke wad ini dengan disambut oleh tangisan dan
esakan si abang yang telah kehilangan pasangan kembarnya juga ibarat sebahagian
dari dirinya. Tuhanku, betapa menderitanya anak kecil ini dengan setiap dugaan
yang Kau turunkan kepadanya. Berikanlah ketabahan kepadanya untuk menempuhi
setiap ujian dari-Mu. Tanpa sedar air mataku turut mengalir bersama tangisan
lelaki kerdil yang berada dalam pelukanku ketika itu.
* * *
* *
Suasana di tanah perkuburan semakin
lengang. Seorang demi seorang yang datang mengiringi jenazah arwah Mohd Adam
Mukhriz telah beransur pulang setelah selesai bacaan talkin. Permintaan arwah
kepada abangnya untuk dikebumikan disisi ibu dan ayahnya telah kami tunaikan.
Hafiz yang berbaju melayu putih gading bersama songkok hitam masih leka
mengusap tanah perkuburan arwah adiknya.
Langit yang mendung bagai turut
berduka dengan peristiwa yang telah menimpa anak kecil ini. Dedaunan pepohon di
sekitar tanah perkuburan yang melambai sayu bagaikan turut mengucapkan selamat
tinggal kepada arwah Mukhriz. Beburung yang berkicau perlahan bagaikan
sama-sama mendoakan kesejahteraan arwah. Aku menyeka air mata yang mengalir ke
pipi. Tiada kata yang dapat aku ungkapkan untuk menggambarkan perasaanku tatkala
melihat mata redup Mohd Adam Hafiz. Tanah kubur arwah ayah dan ibu masih lagi
merah, kini dia sudah kehilangan seorang lagi insan tersayang. Menjadikannya
benar-benar sebatang kara di dunia ini.
Emak saudaranya yang tidak
berperikemanusiaan kerana mendera anak kepada adiknya semata-mata kerana ingin
menguasai harta peninggalan arwah ayah dan ibu kanak-kanak malang tersebut kini
sudah menerima hukuman setimpal dengan apa yang telah dilakukannya mengikut
kuasa undang-undang. Bahkan suaminya juga telah menerima hukuman yang sama
kerana bersubahat untuk mendapatkan harta dan melakukan penderaan terhadap anak
saudara isterinya itu. Semua harta peninggalan arwah ayah dan ibu Hafiz akan
diuruskan oleh Encik Hamdan yang tiba lewat petang pada hari kematian arwah
Mukhriz.
Aku mengajak Hafiz pulang ke rumah
dengan janji akan datang lagi membawanya ke mari. Hujan mulai turun
renyai-renyai seolah-olah menangisi penderitaan mohd Adam Hafiz.
Enjin kereta Toyota Vios milikku
dihidupkan. Seketika kemudian aku memandu membelah jalan raya untuk pulang ke
rumah. Dalam hatiku telah tertanam tekad bahawa Hafiz akan terus tinggal
bersamaku sehingga dia dewasa dan cukup matang untuk menempuhi liku-liku hidup
ini dengan tabah. Aku akan berurusan dengan Encik Hamdan berkenaan keinginanku
untuk menjadikan Hafiz sebagai anak angkatku nanti. Biarlah aku bimbing Hafiz
dan memberikan kasih sayang kepadanya selagi dia memerlukan. Anak kecil di
sebelahku kini cukup menderita dengan kehilangan demi kehilangan yang
dialaminya. Setelah pemergian ibu dan ayah, kini adik kembar yang bagaikan
sebahagian dari dirinya juga telah pergi angkara sikap tamak dan kejam manusia
yang tipis imannya. Sebahagian yang pergi dari hidup Hafiz, akan aku gantikan
dengan sepenuh kasih sayangku nanti. Supaya anak kecil ini tidak lagi merasakan
penderitaan demi penderitaan yang bakal meragut secebis kebahagiaan miliknya
nanti. InsyaAllah.