Assalamualaikum, pembuka bicara...

Selamat datang ke laman blog saya. Semoga anda semua mendapat sedikit ilmu yang berguna dari blog ini. Segala kekurangan amatlah dikesali, kerana yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu datangnya dari diri saya sendiri. Semoga semuanya berada di bawah naungan redha Illahi. InsyaAllah..

Selasa, Mac 16, 2010

Ke mana nilai kasih itu pergi..??


Assalamualaikum w.b.t. Satu salam yang penuh penghormatan aku tujukan khas buat semua pengunjung laman "Percaturan Menuju Destinasi - Fitrah Seorang Hamba". Sekudus doa aku panjatkan pada Rabbul Izzati agar semua pembaca budiman sentiasa berada di bawah lembayung rahmat Illahi. InsyaAllah. Untuk entry kali ini, aku taip kerana didorong oleh satu perasaan halus yang wujud dalam jiwaku. Perasaan kasih, sedih, sayang, terkilan, lara dan kecewa yang menyesak dalam dada. Perasaan yang tidak dapat aku tampilkan secara zahir untuk tatapan semua ini hadir setelah sekian lama mataku menyaksikan dalam lembaran kertas bercetak, dan telingaku mendengarkan dari suara penyampai hebat. Aku sedih dengan perilaku hamba yang Allah Taala kurniakan akal kepadanya, namun kurniaan itu seolah-olah tiada harga. Kes pembuangan bayi, dan penderaan zuriat yang lahir tanpa pernah mereka pinta, namun nasib mereka tetap tidak terbela. Pembaca budiman, kes-kes inilah yang aku sering tatap dalam majalah dan akhbar. Kes-kes ini jugalah yang sentiasa aku dengar dari corong radio atau dari penyampai berita yang disiar. Aku sedih, geram, marah dan terkilan dengan sikap segelintir insan yang cetek pemikiran ini. Mengapa begitu tega memperlakukan sedemikian pada zuriat sendiri? Pengunjung blog yang dirahmati, mari bersama hayati apa yang akan tersiar dari video yang aku selitkan bersama entry ini. Supaya kita dapat membandingkan nilai kasih sayang kita sebagai manusia dengan makhluk Allah yang ada dalam video ini. Hayati sejenak.


video


Perkara pertama yang ingin aku katakan setelah video ini disaksikan ialah, jangan sesekali kalian ketawa atau memandang rendah dengan apa yang telah tersiar. Walaupun darjat kita sebagai hamba lebih mulia dari haiwan ini, namun aku berani katakan bahawa pemberian sifat kasih sayang oleh Yang Esa terhadap hamba-Nya yang ada dalam diri makhluk Allah ini lebih dihargai. Kenapa? Cuba lihat dan nilai sendiri, betapa kasihnya si ibu haiwan ini kepada anaknya. Dengan penuh kasih, diambil anaknya yang kesejukan, dan ketakutan kerana jatuh itu, lalu dipeluk dan dibawa pergi. Perilaku ini sungguh memberi satu tamparan hebat terhadap sikap manusia hari ini. Saudaraku sekalian, haiwan ini adalah makhluk Tuhan yang ada otak tapi tiada akal. Namun nilai kasih sayang yang ada padanya memang tidak dapat disangkal.

Hari ini, buka sahaja halaman akhbar, mataku dihidang dengan berita bayi yang dibuang. Sejak dahulu hingga sekarang, kes penderaan anak dan pembuangan bayi tidak pernah hilang. Apakah ia sudah menjadi budaya masyarakat sekarang..?? Kalau dah tak ingin sangat pada bayi yang dilahirkan, kenapa perlu dibuang tanpa belas kasihan..?? Di dalam hutan, di tengah padang, di dalam semak, di balik sampah. Bahkan ada yang dibakar. Yang buat aku menitiskan air jernih ialah berita bayi yang baru dilahirkan yang dibungkus dalam plastik hitam, kemudian dibuang jauh ke bawah bukit. Apabila dijumpai, hancur tubuh si bayi. Ya Rabbi. Mengapa perlu manusia hari ini dibelit dengan sikap yang keji..??

Di mana akal yang tuhan anugerahkan..?? Bukankah sudah dikata zina itu haram. Namun mengapa masih dilakukan..?? Apabila meninggalkan kesan, bayi yang lahir terus dibuang. Cuba hitung berapa dosa yang telah dijulang..?? Kerana dengan bangga melakukan sesuatu yang telah dicegah dan dihalang.

Untuk wanita-wanita yang aku sayang. Sesungguhnya wanita adalah hiasan dunia. Dan seindah hiasan adalah wanita yang solehah. Hiasilah peribadi kita dengan sifat malu. Jangan biarkan dirimu sewenang-wenangnya disentuh tangan-tangan rakus. Jangan relakan auratmu dipanah pandangan nafsu yang tajam bak belati menghunus. Umpama sebuah hadiah, bukankah lebih dihargai andai ia dibungkus rapi..?? Begitu juga kita sebagai wanita yang bakal bergelar isteri. Andai perhiasan dijaga hanya untuk suami, pasti akan lebih disayangi dan dihargai. Bahkan ganjarannya tidak mampu dibayangkan oleh kita sendiri.

Untuk setiap golongan lelaki. Jadilah pemimpin yang ada iman di dada. Penuh ilmu dalam jiwa. Supaya dapat membentuk wanita, menjadi pendamping setia yang terpandang mulia. Janganlah gunakan kekuatan yang ada untuk melakarkan pada wanita secalit noda. Wanita adalah hamba yang kurang berdaya mengatur langkah sendirian tanpa ada pemimpin bersamanya. Kerana itulah, lelaki didatangkan untuk mereka.

Aku amat mengharapkan agar tiada lagi bayi yang dibuang. Tiada lagi anak-anak kecil yang mengalami seksa penderaan. Namun harapanku ini bagaikan hanya akan tinggal harapan. Tidak takutkah semua insan yang bersalah ini dengan setiap balasan yang bakal datang..?? Anak-anak kecil yang dijemput Tuhan akibat penderitaan yang kita lakukan, mereka tidak akan melangkah masuk ke taman syurga selagi ibu bapa yang mendera mereka tidak menerima balasan setimpal. Ya Allah, betapa kejam hamba-Mu yang telah kau anugerahkan akal kepadanya. Bahkan ada janin yang dimasakkan dan dimakan bersahaja oleh segelintir manusia. Sudah kurang akal ke apa..?? Benci aku melihat semuanya.

Aku tidak kisah apa yang ingin pembaca budiman katakan selepas ini. Tapi kali ini, aku berani katakan, bahawa haiwan itu lebih penyayang. Seharusnya manusia mencontohi nilai kasih sayang yang ada pada haiwan ini. Walaupun masih ada manusia yang lebih penyayang sikapnya, namun yang membakar bayi sendiri, yang membuang janin sendiri, yang menyeksa zuriat sendiri, semuanya adalah MANUSIA.

Ya Rabbi, berikan petunjuk dan hidayah-Mu padaku dan pada setiap hamba-Mu yang telah khilaf dan melakukan kesalahan. Pimpinlah kami ke arah jalan-Mu yang diredhai. Ampunkan segala dosa-dosa kami yang tidak terhitung oleh kami sendiri. Kerana ampunan-Mu lebih besar dari setiap kesalahan insan walau dosanya meliputi seluruh langit dan bumi. Amiinn..

Isnin, Mac 15, 2010

Kelebihan Berselawat Ke Atas Rasulullah SAW


Rasulullah S.A.W telah bersabda bahawa, "Malaikat Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail A.S. telah berkata kepadaku.


Berkata Jibril A.S. : "Wahai Rasulullah, barang siapa yang membaca selawat ke atasmu tiap-tiap hari sebanyak sepuluh kali, maka akan saya bimbing tangannya dan akan saya bawa dia melintasi titian Sirat seperti kilat menyambar."

Berkata pula Mikail A.S. : "Mereka yang berselawat ke atas kamu akan aku beri mereka itu minum dari telagamu."

Berkata pula Israfil A.S. : "Mereka yang berselawat kepadamu akan aku sujud kepada Allah S.W.T dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah S.W.T mengampuni orang itu."

Malaikat Izrail A.S pula berkata : "Bagi mereka yang berselawat ke atasmu, akan aku cabut roh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut roh para nabi-nabi."

Apakah kita tidak cinta kepada Rasulullah S.A.W.? Para malaikat memberikan jaminan masing-masing untuk orang-orang yang berselawat ke atas Rasulullah S.A.W.

Dengan kisah yang dikemukakan ini, harap kita semua tidak akan melepaskan peluang untuk berselawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Mudah-mudahan kita menjadi orang-orang kesayangan Allah, Rasul dan para malaikat. InsyaAllah.





Persengketaan Bumi Dan Langit


Adapun terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga dengan langit. Berkata
bumi kepada langit, "Hai langit, aku lebih baik dari kamu kerana Allah S.W.T. telah menghiaskan aku
dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-tanaman, beberapa gunung dan
lain-lain."


Berkata langit, "Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, 'Arasy, kursi dan syurga ada padaku."

Berkata bumi, "Hai langit, ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang yang baik)."

Bumi meneruskan katanya lagi, "Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam, seutama- utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syariatnya juga di tempatku."

Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian. Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah S.W.T dengan berkata, "Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga."

Lalu Allah S.W.T mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah S.W.T memberi wahyu kepada Jibrail A.S pada malam tanggal 27 Rejab, "Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau 'Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini."

Jibrail A.S. bertanya, " Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?"

Allah S.W.T berfirman, maksudnya, "Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq itu."

Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya buraq?"

Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan."

Berkata Jibrail A.S., "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu."

Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Wallahu'alam. Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.



Berkat Kalimah "Bismillaahirrahmaanirrahiim"


Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak
mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan.

Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu, sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya.

Suaminya berkata sambil mengejek, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."

Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata, "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu."

Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan."

Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.

Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada
isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah, dan dia juga membaca
Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.