Assalamualaikum, pembuka bicara...

Selamat datang ke laman blog saya. Semoga anda semua mendapat sedikit ilmu yang berguna dari blog ini. Segala kekurangan amatlah dikesali, kerana yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu datangnya dari diri saya sendiri. Semoga semuanya berada di bawah naungan redha Illahi. InsyaAllah..

Ahad, Januari 24, 2010

Andai Islam Seperti Sebuah Bangunan Usang


IMAM SYAHID HASSAN AL BANNA

"Andai Islam itu,
seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh,
maka akan ku berjalan ke seluruh dunia,
mencari jiwa-jiwa muda,
aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka,
tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas,
untuk membantuku dan bersama,
membina kembali bangunan usang itu,
menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah".

Hikmah Allah

Sheikh Ibnu Atoillah r.a membongkar satu lagi hikmah Allah dalam kalam hikmahnya yang indah yang berbunyi:

“Apabila kamu terlanjur melakukan suatu dosa, maka janganlah kamu jadikan ia sebagai sebab kamu patah hati daripada beristiqamah bersama Tuhanmu, kerana kadang kala ia merupakan dosa terakhir yang ditakdirkan ke atas kamu”.

Sabtu, Januari 23, 2010

Rintihan Dan Harapan


Ujian.
Itulah yang sering diturunkan oleh-Mu kepada setiap hamba yang disayangi.
Setiap insan yang bernafas di atas muka bumi ini,
tidak akan lepas dari menerima ujian dari-Mu, Ya Rabbi.
Walau diperingkat mana sekalipun,
muda atau tua,
kecil atau dewasa,
ujian-Mu pasti akan datang menyapa.


Ya Rabbi,
Perteguhkan hatiku dalam menghadapi setiap ujian dari-Mu.
Terima kasih atas setiap ujian yang Kau berikan,

kerana itu tandanya Kau tidak pernah melupakanku,

seorang hamba yang kerdil dan naif disisi-Mu.


Namun Ya Rabbi,
aku juga adalah hamba-Mu yang sangat lemah,

mohon agar jangan Kau berikan ujian yang tak mampu dipikul olehku.

Mohon jua agar Kau sentiasa bersamaku dalam melalui setiap liku hidup.

Jatuh bangunku,

tangis tawaku,

dan rintih senyumku,

semuanya adalah kerana-Mu.


Ya Rabbi,
Aku redha atas setiap ujian dari-Mu.

Aku bersyukur untuk setiap nikmat dari-Mu.

Aku mengadu dan merintih hanya pada-Mu.

Aku bersyukur dan gembira juga dengan-Mu.
Aku bernafas dan hidup juga kerana-Mu.

Hari ini aku diuji,
Aku ikhlas terima kerana Engkau tetap bersamaku disisi.
Hari ini aku disakiti,
Aku sedia hadapi kerana Engkau setia menyayangi.
Hari ini aku merintih,
Aku tahu semuanya Engkau dengari.
Hari ini aku bersedih,
Aku masih mampu tabahkan hati,
Semuanya kerana Engkau yang tetap dihatiku, Rabbi.

Harapanku agar terus dicekalkan hati,
menerima setiap ujian dari-Mu hari demi hari.
Jangan biarkan aku mengeluh, Ya Rabbi.
Kerana aku takut keikhlasanku terhakis,
dengan setiap ujian dari-Mu padaku, Ya Illahi.
Amin.

Isnin, Januari 04, 2010

Hari Lahir - Saat Kematian Kian Hampir


Hari ini, sesuatu yang tidak diduga berlaku. Aku dikurniakan satu rezeki berupa sehelai tudung yang cantik. Tudung ini dihadiahkan oleh seorang teman satu group sempena hari lahirku. Walaupun tarikhnya sudah lama lepas iaitu pada 4 Disember yang lalu, tak sangka masih ada yang menghulurkan hadiah. Apatah lagi jika datangnya dari teman sendiri, sudah tentu ia amat dihargai. Terima kasih Achik atas pemberian hadiah tersebut. InsyaAllah, pasti Niey akan pakai tudung tu nanti.

Sebenarnya, bukan hadiah yang aku harapkan dari teman-teman dan sesiapa sahaja. Hari lahir adalah hari yang menandakan bahawa kita sudah semakin berusia. Dan yang penting, kita semakin dekat menuju ke arah kematian. Apa yang perlu dilakukan ialah, banyakkan amalan dan ibadat sebagai bekal kita menuju akhirat. Cara yang terbaik menyambut hari lahir bagi kita sebagai umat Islam ialah dengan mendirikan solat sunat syukur sebagai tanda terima kasih kita kepada Allah S.W.T kerana telah memberi peluang kepada kita untuk terus bernafas dan menatap keindahan alam ciptaan-Nya. Tidaklah kita semua diciptakan oleh Allah melainkan untuk beramal kepada-Nya. Jadi, sebagai hamba Allah, pastikan kita tidak lalai dalam mengerjakan tanggungjawab yang dipikulkan ke atas bahu kita.

Buat semua yang telah memberikan hadiah, aku dahulukan dengan ucapan terima kasih. Sesungguhnya, setiap pemberian itu meninggalkan kesan manis terhadapku. Namun, persahabatan yang telah teman-teman sekalian jalinkan bersamaku selama ini merupakan suatu hadiah yang paling bermakna.

Ya, Rabbi. Semoga dengan meningkatnya usiaku kini akan menjadikan aku seorang hamba-Mu yang lebih dewasa dan matang. Dan dengan meningkatnya kedewasaanku serta kematanganku kini akan menjadikan aku sebagai hamba-Mu yang bijak berfikir. Dan dengan kebijaksanaanku berfikir kini akan menjadikan aku sebagai hamba-Mu yang tahu membezakan antara perkara yang disuruh dan dilarang oleh-Mu. Dan dengan pengetahuanku membezakan hal yang baik dan buruk akan menjadikan aku sebagai hamba-Mu yang lebih peka melengkapkan diri sebagai seorang muslimah. Dan dengan pekanya aku mengejar ciri muslimah akan menjadikan aku lebih bersemangat dalam mencari redha-Mu, wahai Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Amiinnn..

Sabtu, Januari 02, 2010

Tahun Baru - Insan Semakin Hilang Pedoman

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, dan bulan berganti tahun. Detik berlalu tanpa sempat kita hitung. Sedar tak sedar kita sekali lagi melangkah ke tahun baru. Selamat tahun baru 2010 kepada semua sahabat handai dan sesiapa sahaja yang melayari blog ini. Semoga tahun baru ini akan dilayari dengan azam dan semangat yang baru.

Bercakap tentang tahun baru, ada sesuatu yang amat dikesali apabila melihat sikap manusia hari ini. Sambutan tahun Masihi lebih meriah jika dibandingkan dengan sambutan tahun baru Maal Hijrah. Sedangkan kita hari ini hidup dan bernafas dalam sebuah negara Islam. Anak-anak muda bahkan yang sudah berusia masing-masing tidak melepaskan peluang menunggu detik 12 malam menantikan tahun baru 2010. Konsert dan pesta berlaku di mana-mana. Bunga api menghias angkasa. Namun jika ditanya tahun ini adalah tahun Maal Hijrah yang ke berapa, aku cukup yakin ramai yang tidak tahu jawapannya. Bahkan jika diminta menyebut bulan-bulan Islam sekalipun, masih ada yang tergagap-gagap menjawabnya.

Apakah ini lambang kita sebagai masyarakat Islam. Berteriak dan bersorak bagai orang yang hilang pedoman. Berpelukan antara lelaki dan perempuan tanpa rasa takut pada Allah yang Maha Melihat. Ke mana perginya rasa tanggungjawab setiap lelaki yang tercipta sebagai pemimpin? Ke mana jua hilangnya rasa malu yang seharusnya menghiasi peribadi wanita sebagai hamba yang perlu dipimpin? Masing-masing bergembira dan berseronok tanpa sedikit pun mereka sedar, bahawa iblis dan syaitan juga turut bergembira di atas setiap kelalaian mereka. Penghuni langit juga segan dan malu dengan apa yang telah manusia lakukan. Manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah, namun manusia hari ini sudah tiada lagi rasa malu dan takut pada Allah.

Ayuhlah saudara seagamaku. Marilah bersama-sama kita kembali ke landasan yang asal. Jalan yang lurus dan benar. Mengapa dikejar keseronokan yang bertopengkan maksiat semata-mata. Tidak tercatat walau satu pun keuntungan di sebalik keseronokan seperti itu. Bahkan akan terus mengheret kita yang sudah sedia dhaif ke jalan yang salah. Kembalilah pada apa yang disarankan oleh agama kita, supaya di padang masyar kelak lidah kita tidak akan tergagap-gagap untuk menjawab setiap persoalan yang diberikan oleh Allah Taala terhadap apa yang telah kita lakukan di dunia hari ini. Sedangkan di akhirat nanti, Nabi Allah Adam a.s takut dan bimbang dengan kesilapannya melanggar arahan Allah supaya tidak mendekati pohon khuldi, Nabi Musa a.s juga sedih dan risau dengan dosanya yang telah membunuh nyawa manusia, dan Nabi Ibrahim juga khuatir dengan keadaan dirinya, inikan pula kita sebagai manusia biasa yang tidak memiliki kedudukan istimewa di sisi Tuhan. Kita bukan Nabi dan Rasul, kita juga bukan dari kalangan Wali dan Ulama. Namun sikap kita hari ini lebih teruk dari insan-insan mulia ini. Seolah-olah kita bagai dijamin dengan syurga oleh Allah. Sedangkan Rasulullah s.a.w yang sangat dicintai oleh Yang Esa dan dijamin syurga sering sujud dan beristighfar memohon keampunan, mengapa tidak kita ikut cara Baginda? Bukankah Muhammad s.a.w itu Rasul yang diutuskan oleh Allah kepada kita?

Pasti akan ada yang mengatakan aku tidak seharusnya membandingkan manusia hari ini dengan golongan Nabi serta manusia yang tinggi imannya dan zuhud pada dunia, namun bukankah kita semua adalah manusia. Allah tidak akan memandang hambanya dari segi rupa, kekayaan atau kedudukan, tapi Allah memandang setiap hambanya dari segi ketinggian iman mereka. Jika hari ini, kita masih ingin memberi alasan, apakah setiap alasan kita hari ini berguna untuk membantu kita di hari perhitungan nanti? Setiap manusia tiada yang sempurna. Semua melakukan kesilapan dan dosa. Namun Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Keampunan Tuhan itu lebih besar dari setiap kesalahan Insan. Aku sendiri juga seorang hamba yang terlalu banyak dosa dan seringkali melakukan kesilapan kerana ceteknya ilmu dan pemikiran. Nafsu yang seharusnya dielakkan sering menjadi johan. Namun, keinsafan dalam diri akan membantu kita kembali pada jalan yang asal seandainya kita benar-benar ikhlas dan redha. InsyaAllah...