Assalamualaikum, pembuka bicara...

Selamat datang ke laman blog saya. Semoga anda semua mendapat sedikit ilmu yang berguna dari blog ini. Segala kekurangan amatlah dikesali, kerana yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu datangnya dari diri saya sendiri. Semoga semuanya berada di bawah naungan redha Illahi. InsyaAllah..

Khamis, Februari 23, 2012

Bidadariku Hanya Kamu



BIDADARIKU HANYA KAMU
Karya : Noraini Ismail


Februari, 2008

Fatimah Az-Zahra terduduk kaku tatkala perkhabaran itu meniti keluar dari bibir lelaki di hadapannya. Musibah apa yang sedang menimpa dirinya saat ini? Dia mengusap pipi. Mutiara jernih dari tiram matanya mula menampakkan diri. Perlahan Fatimah Az-Zahra menyeka. Mata basahnya hanya mampu menyaksikan langkahan kaki insan yang dipuja selama ini berlalu pergi. Hatinya remuk. Hancurnya, hancur yang sudah tidak mungkin dapat dipulihkan kembali.
“Aidil, setelah segalanya aku berikan, tetap jua kau pergi meninggalkan aku.”
Pandangannya dilemparkan ke laut biru. Laut yang menjadi saksi kemusnahan impiannya selama ini. Air mata bagaikan tidak mahu berhenti dari mengalir. Puas menyeka, Fatimah Az-Zahra akhirnya membiarkan sahaja. Dia sudah tidak mampu menghiraukan berapa titis mutiara jernih itu mahu keluar. Bahkan pawana yang menghembus juga sudah tidak lagi ingin dia nikmati. Yang pasti kini, hatinya ternyata hancur dengan sikap Aidil. Sesekali batinnya menangis sedih, namun sesekali batinnya turut mendengus benci. Aidil Batrisyah, begitu mudahnya kasih kau berpaling setelah nikmatnya kau kecapi.
* * * * *
Januari, 2009
Fatimah Az-Zahra seronok melayan anak-anak kecil di Taska Darul Iman. Sudah hampir setahun dia membantu emak saudaranya di taska tersebut. Kerana ingin melupakan segala kekecewaan, dia memohon izin orang tuanya untuk datang ke kota metropolitan ini. Setelah lama dia disini, peristiwa lama sedikit demi sedikit dapat dilupakan.
“Assalamualaikum.” Fatimah Az-Zahra menoleh ke arah pintu apabila terdengar salam diberikan. Seorang lelaki berpakaian agak kemas sedang berdiri di pintu.
“Waalaikumussalam. Encik nak cari siapa?” Zahra pantas bertanya kerana dia belum pernah melihat lelaki tersebut menghantar anak kecil ke taska itu. Mungkin orang ini ingin berjumpa mak ngah. Hati kecilnya menduga.
“Oh, saya bukan ingin berjumpa dengan sesiapa. Saya datang ke mari hanya untuk mengambil anak saudara saya. Syafiq Haikal. Kebetulan ibunya ada mesyuarat, jadi dia minta saya yang ambilkan.”
“Kalau macam tu, tunggu sekejap, ya. Boleh saya tahu nama encik. Saya perlu buat pengesahan dari orang tua Syafiq Haikal terlebih dahulu.”
“Saya Cikgu Ali. Muhammad Ali Saifullah.” Fatimah Az-Zahra melemparkan senyuman sambil berlalu masuk ke ruang pejabat yang telah disediakan khas di taska tersebut. Dia perlu menelefon ibu kepada anak kecil yang dimaksudkan oleh lelaki tersebut sebentar tadi sebelum menyerahkan kepadanya. Setelah selesai, dia mengambil Syafiq Haikal yang baru berusia setahun dua bulan untuk diserahkan kepada lelaki yang menunggu di ruang hadapan.
“Ini dia Syafiq Haikal. Baik betul budak ni. Tidak pernah menyusahkan penjaga dia kat sini.” Fatimah menghulurkan anak kecil dalam dukungannya serta bakul barang yang diambil sebentar tadi.
“Terima kasih. Nama saudari ni siapa?” Fatimah Az-Zahra memandang lelaki di hadapannya sambil tersenyum. Satu senyuman yang cukup untuk membuatkan jantung lelaki di hadapannya berdegup pantas.
“Saya Fatimah Az-Zahra. Tapi semua orang panggil saya Zahra sahaja.” Usai memperkenalkan diri, Fatimah Az-Zahra terus berlalu. Masih ada kerja yang perlu dia uruskan di taska tersebut sebelum pulang ke rumahnya.
* * * * *
Mata Ali Saifullah amat sukar untuk dilelapkan. Entah kenapa, fikirannya masih terbayangkan gadis yang dijumpai di taska petang tadi. Senyuman yang diberikan gadis tersebut telah menarik perhatiannya. Apakah ini petunjuk dari Allah untuknya. Pelengkap hidup yang dicari selama ini bakal ditemui. Benarkah? Hatinya masih tertanya-tanya sehingga dia nekad untuk mengenali gadis itu.
Petang yang redup. Ali Saifullah menghentikan keretanya di hadapan Taska Darul Iman. Sebentar tadi dia telah memberitahu kakaknya bahawa dia akan mengambil anak saudaranya hari ini di taska. Nasib baik kakaknya itu tidak banyak soal jawabnya. Kali ini, Ali Saifullah ingin mengambil kesempatan untuk terus mendekati dan mengenali gadis yang telah membuatkan hidupnya tidak keruan. Semoga berjaya, Ali!
Hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan akhirnya berganti tahun. Sudah lebih setahun Ali Saifullah dan Fatimah Az-Zahra menjalinkan persahabatan. Puan Syamsiah, emak saudara Fatimah Az-Zahra juga sudah menjadi mesra dengan guru muda itu. Seringkali dia berdoa agar persahabatan mereka berdua akan pergi lebih jauh, bahkan Puan Syamsiah juga pernah berseloroh dengan anak saudaranya. Namun, dilihatnya Fatimah Az-Zahra bagaikan tidak berminat ke arah yang dia maksudkan.
* * * * *
Suasana di restoran makanan laut itu agak sunyi. Hari ini, setelah penat memujuk, Ali Saifullah akhirnya berjaya mengajak Fatimah Az-Zahra untuk menikmati makan malam di restoran tersebut. Sekian lama dia mencuba dan mengatur rancangan, harapannya agar biarlah hari ini terluah segala hajat yang dipendam. Lebih setahun berkawan, dia yakin gadis di hadapannya ini bidadari yang diimpikan.
“Zahra, sebenarnya ada sesuatu yang ingin saya katakan.” Ali Saifullah memandang tepat gadis di hadapannya. Apabila dilihatnya Fatimah Az-Zahra hanya berdiam diri, nafas kemudian ditarik perlahan sebelum meneruskan kata.
“Zahra, sudah lebih setahun kita mengenali hati budi masing-masing. Hari ini, saya telah mengambil keputusan untuk melamar awak. Zahra, saya ingin jadikan awak sebagai suri dalam hidup saya. Hati saya ikhlas memilih awak. Saya harap awak tidak akan hampakan harapan saya.” Dada Ali Saifullah sedikit berdebar menanti jawapan gadis di hadapannya. Biarlah apa yang diharapkan menjadi kenyataan.
Fatimah Az-Zahra hanya mampu memandang wajah lelaki di hadapannya tanpa sebarang kata yang terluah. Lidahnya tiba-tiba kelu. Sungguh dia tidah pernah menyangka Ali Saifullah inginkan perhubungan antara mereka berdua lebih dari sekadar persahabatan. Hatinya sayu melihat wajah yang penuh pengharapan di hadapannya saat itu. Ali, mengapa aku jua yang menjadi pilihanmu. Seandainya kau tahu siapa sebenarnya diriku, pasti kau akan kecewa.
Sejak peristiwa di restoran yang lalu, sudah lebih seminggu Ali Saifullah tidak melihat kelibat Fatimah Az-Zahra. Apakah lamarannya telah melukakan hati gadis tersebut? Ali Saifullah semakin gusar dengan persoalan-persoalan yang bermain di fikirannya. Hari itu, kehadirannya sekali lagi ke Taska Darul Iman hanya disambut oleh Puan Syamsiah. Katanya, ada amanah yang disampaikan kepadanya sebelum Fatimah Az-Zahra pulang ke kampung. Ali Saifullah kemudian diberikan sepucuk surat bersampul biru muda. Terketar-ketar tangannya sewaktu menerima surat tersebut.
Assalamualaikum...
Ali, maaf andai lembaran kecil ini telah mengganggu perjalanan rutin harianmu. Zahra terpaksa mengirimkan warkah ini demi satu hakikat yang selama ini tersirat. Ali, sesungguhnya Zahra amat bersyukur dan berterima kasih dengan setiap budi dan layanan Ali selama ini yang terlalu baik buat Zahra. Terus terang Zahra katakan, wanita mana yang tidak gembira apabila dirinya dilamar seorang pemuda yang baik dan beriman. Namun berat hati Zahra untuk nyatakan bahawa Zahra terpaksa menolak lamaran kasihmu. Bukan Zahra sengaja untuk melukakan hatimu, Ali. Tapi Zahra terpaksa dan biarkan Zahra jelaskan terus disini alasannya kerana Zahra teramat malu untuk berhadapan denganmu dan menyingkap segala kebenaran yang terselindung.
Ali, begitu berat untuk Zahra nyatakan, tapi Zahra perlu kuatkan hati untuk membuka pekung ini. Zahra bukan wanita yang sempurna sepertimana yang Ali gambarkan. Zahra wanita yang sudah kehilangan gadis sebelum sampai waktunya. Zahra wanita yang sudah ternoda kerana cinta yang terlalu dipuja. Maafkan Zahra. Umpama setaman mawar, tidak semua cantik dan mekar. Begitulah keadaannya Zahra sekarang. Zahra adalah salah satu kuntuman yang layu. Serinya sudah direntap dan akhirnya dibiarkan layu. Wanita yang sudah tiada apa-apa ini, mana mungkin bergandingan dengan pemuda sebaik dirimu, Ali. Hanya yang sempurna dan solehah sahaja yang layak.
Ali, Zahra mohon biarlah rahsia ini tersimpan dengan kemas. Zahra tidak sanggup andai semua ini sampai ke pengetahuan umi dan abah. Zahra tidak mahu calarkan hati mereka. Cukuplah selama ini Zahra telah lalai dengan membelakangkan tanggungjawab Zahra sebagai puteri umi dan abah. Zahra gagal mencontohi akhlak mulia Fatimah Az-Zahra puteri Rasulullah s.a.w.. Maafan Zahra. Zahra doakan Ali akan mendapat jodoh yang lebih baik. Maaf, kerana bukan Zahra bidadari hidupmu. Wassalam.
Fatimah Az-Zahra
Ali Saifullah meraup mukanya. Ada satu perasaan yang menyelit dalam hatinya sekarang. Fatimah Az-Zahra, rupanya disebalik senyumanmu yang manis dan wajahmu yang tenang, tersirat suatu rahsia yang menyakitkan dirimu sendiri. Langkah diatur perlahan menuju ke arah jendela yang sengaja dibuka. Matanya terarah pada bulan separa yang hampir dilindungi awan. Hati lelakinya sedikit tersentuh. Wanita yang telah dilamar kasihnya rupanya seorang yang telah ternoda. Kolam matanya hampir digenangi air jernih namun segera diseka.
“Ya Rabbi, Kau lebih mengetahui keadaan diriku dan Fatimah Az-Zahra. Kau lebih faham tanggungan hati kami berdua. Kau tanamkan dalam hatiku rasa cinta terhadapnya. Namun hari ini, Kau singkapkan satu rahsia. Apa yang perlu aku lakukan? Apakah hikmah-Mu yang terselit di sebalik semua percaturan hidup kami yang telah kau tetapkan?.”
Ali Saifullah kembali ke katil setelah pintu jendela ditutup. Surat yang masih dipegang kemudian disimpan. Malam itu, dia nekad akan mengadakan solat sunat istikharah. Biarlah keputusan yang akan diambilnya nanti mendapat petunjuk dari Yang Esa.
* * * * *
Toyota Vios yang dipandu berhenti tepat dihadapan Taska Darul Iman. Ali Saifullah segera turun dari kereta apabila dilihatnya Puan Syamsiah keluar menjenguk. Seminggu sudah dia istikharah, dan hari ini dia perlu berjumpa dengan Fatimah Az-Zahra. Dia perlu menjelaskan pada gadis itu dengan penuh hemah. Harapannya agar Fatimah Az-Zahra akan menerima apa yang bakal disampaikan dengan baik.
“Ingin jumpa dengan Zahra ke? Nanti mak cik panggilkan, ye.” Puan Syamsiah segera masuk ke dalam taska yang ditubuhkannya hampir sepuluh tahun dahulu. Hajat guru muda yang baru tiba tadi disampaikan kepada anak saudaranya yang sedang asyik melayan telatah anak-anak kecil.
“Mak Ngah cakap Ali nak jumpa Zahra.” Fatimah Az-Zahra menundukkan kepala sewaktu keluar bertemu dengan pemuda di hadapannya. Sungguh dia teramat malu sejak rahsia yang disimpan terpaksa dipecahkan.
“Zahra, jangan terlalu tundukkan pandanganmu. Ali tidak pernah memandang Zahra dengan pandangan yang rendah walaupun Ali sudah tahu semuanya.” Ali Saifullah menarik nafas panjang. Mencari kekuatan untuk meneruskan apa yang terbuku di hati.
“Zahra, sejujurnya saat Ali mendapat tahu kebenaran yang Zahra simpan, hati Ali tersentuh. Namun percayalah, kasih Ali tetap tidak berubah. Telah Rabbi tanamkan dalam hati Ali rasa cinta untukmu, dan Ali juga telah memohon petunjuk dari-Nya dalam setiap sujud istikharah demi satu keputusan yang tepat”. Ali menyeluk saku seluarnya, mengeluarkan sebuah kotak baldu merah berbentuk hati. Setelah yakin dengan keputusannya, Ali nekad membeli sebentuk cincin sebagai tanda dia sememangnya ikhlas untuk memiliki wanita di hadapannya kini.
“Zahra, Ali telah nekad untuk menjaga cinta yang telah Allah kurniakan pada Ali. Hati Ali ikhlas untuk memiliki diri Zahra seadanya. Bukan kerana simpati atau terpaksa. Ali amat berharap agar Zahra tidak lagi menghampakan hasrat yang Ali pendam sekian lama. Terimalah cincin ini. Ali tidak akan mempengaruhi setiap keputusan Zahra nanti. Andai jawapannya mengecewakan Ali, Zahra boleh pulangkan cincin tersebut, namun Ali amat teringin untuk melihat cincin itu tersarung di jari manismu. Ali pulang dulu. Assalamualaikum.” Ali Saifullah melangkah perlahan menuju ke arah keretanya. Salamnya dijawab perlahan oleh Fatimah Az-Zahra sambil matanya menghantar pemergian guru muda tersebut.
* * * * *
Fatimah Az-Zahra masih lagi memandang cincin di dalam kotak baldu yang terbuka. Sewaktu kotak itu dibuka hampir dua minggu yang lalu, dia agak terkejut kerana terdapat sekeping kertas terlipat kecil bersama sebentuk cincin belah rotan yang cantik ukirannya. Menitis air matanya kerana terharu dengan kebesaran hati seorang pemuda bernama Muhammad Ali Saifullah untuk menjadikannya sebagai suri dalam hidup sedangkan telah dia nyatakan dahulu bahawa dirinya adalah wanita yang ternoda. Kertas yang terselit bersama cincin diambil kembali dan dibaca lagi. Hati wanitanya amat tersentuh dan dia sememangnya bersyukur di atas anugerah yang telah Allah berikan kepadanya.

Assalamualaikum...
Zahra, jangan terlalu merendahkan diri sendiri dengan dosa silam. Ali tidak memandang kisah hidup Zahra yang lepas sebagai ukuran. Bahkan Ali sendiri juga bukan rijal yang hebat. Hanya seorang pemuda biasa sama seperti yang lain. Zahra, kasih Ali masih tidak pernah berubah. Ali tetap mahu memiliki dirimu dan Ali ikhlas ke arah itu. Ali telah melakukan istikharah memohon petunjuk dari Allah, dan hanya dirimu wanita yang hadir dalam setiap mimpi Ali serta dirimu jua yang sering hadir dalam fikiran Ali. Ini adalah petunjuk dari Yang Esa. Ali yakin ada hikmah yang tersirat di sebalik percaturan tuhan dalam hidup kita.
Zahra, tanggapanmu terhadap diri sendiri ternyata silap. Zahra bukan mawar yang layu. Bagi Ali, Zahra adalah mutiara yang begitu sukar dimiliki. Noda silam bukan mengurangkan kilauanmu, bahkan ia semakin menyerlahkan cahaya peribadi yang indah. Noda itu telah menjadikan Zahra wanita yang sempurna bagi diri Ali. Jangan terlalu cepat menyatakan bahawa Zahra bukan bidadari yang layak untuk menghiasi hidup Ali. Kita hanya insan biasa yang tidak pernah tahu apa yang telah tuhan tetapkan untuk kita.
Zahra, bagi Ali, Zahra adalah bidadari yang telah Allah hadirkan sebagai pelengkap hidup Ali. Sebagaimana Fatimah Az-Zahra puteri Rasulullah menjadi pelengkap hidup Saiyidina Ali sabahat baik Nabi s.a.w, begitu juga harapan Ali. Siang dan malam, Ali memohon agar Fatimah Az-Zahra binti Ismail ini menjadi pelengkap hidup Muhammad Ali Saifullah. Walaupun Ali tidak sehebat Saiyidina Ali, namun Ali dengan seikhlas hati dan demi kerana Rabbi, Ali ingin melamar diri Zahra sebagai suri dalam hidup Ali. Ali amat yakin dengan petunjuk yang diberi oleh Yang Esa. Yakinlah Zahra, aku adalah wildanmu dan hanya engkau bidadariku di dunia dan akhirat. InsyaAllah.
Muhammad Ali Saifullah
Fatimah Az-Zahra membawa surat itu ke dadanya. Cincin pemberian Ali Saifullah ditenungnya lama. Seketika kemudian, dia mencapai telefon bimbit. Pesanan ringkas dihantar kepada lelaki yang telah memberikan cincin tersebut. Selang beberapa minit, pesanan yang dihantarnya berbalas. Zahra segera membacanya namun dia tidak lagi membalas pesanan tersebut. Esok dia akan berjumpa dengan Ali Saifullah. Setelah lama dia menyepi memikirkan apa yang telah terjadi, akhirnya dia nekad. Esok cincin itu akan diserahkan kepada Ali Saifullah.
* * * * *
Wajah guru muda itu sedikit keruh apabila Fatimah Az-Zahra menghulurkan kotak berbentuk hati itu kepadanya. Semalam hatinya sedikit berbunga sewaktu menerima pesanan ringkas dari wanita di hadapannya itu. Sangkanya dia tidak akan menerima cincin itu kembali namun ternyata dia silap. Fatimah Az-Zahra kini telahpun mengembalikan cincin tersebut. Apakah wanita di hadapannya kini telah sekali lagi menolak lamarannya. Ali Saifullah ternyata kelu untuk berkata-kata.
“Ali, Zahra tidak tahu apa yang sedang Ali fikirkan sekarang. Zahra minta maaf sebab terpaksa pulangkan cincin ini. Bukan Zahra tidak ingin sarungkannya ke jari, tapi Zahra rasa elok kiranya ibu Ali yang sarungkan. Zahra sudah membuat keputusan. Zahra terima lamaran Ali dan Zahra amat menghargainya. Terima kasih kerana Ali berbesar hati menerima Zahra sebagai pelengkap hidup. Semoga kebesaran hati Ali mendapat ganjaran yang baik dari Yang Esa.” Zahra menundukkan pandangannya. Lega apabila apa yang dirancangkan semalam dapat ditunaikan hari ini.
Ali Saifullah yang mendengar setiap kata-kata dari Fatimah Az-Zahra kembali berbunga hatinya. Disangkakan sebentar tadi, lamarannya sekali lagi dihampakan. Namun dia rupanya akan dihadiahkan dengan berita yang lebih menggembirakan. Wajahnya diraup dengan kedua telapak tangan. Sungguh dia amat bersyukur dengan penerimaan Fatimah Az-Zahra terhadap lamarannya.
“Terima kasih, Zahra. Terima kasih yang tidak terhingga Ali ucapkan. InsyaAllah, Ali akan segera meminta ibu dan ayah untuk datang ke rumah Zahra. Biarlah apa yang kita impikan berlangsung dengan baik selepas ini.” Ali Saifullah makin lebar senyumnya melihat wanita pujaan yang hanya tersenyum. Dahulu, senyuman itulah yang telah memikat hatinya untuk terus memiliki wanita ini, dan sekarang dia dapat melihat senyuman itu lagi dengan hati yang amat lapang dan penuh kesyukuran. Dalam diam Ali Saifullah berazam, akan dia jaga amanah yang bakal diterimanya ini sebaiknya mengikut landasan yang telah ditetapkan. InsyaAllah.