Assalamualaikum, pembuka bicara...

Selamat datang ke laman blog saya. Semoga anda semua mendapat sedikit ilmu yang berguna dari blog ini. Segala kekurangan amatlah dikesali, kerana yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu datangnya dari diri saya sendiri. Semoga semuanya berada di bawah naungan redha Illahi. InsyaAllah..

Rabu, Mac 21, 2012

Cerpen : Kerana Aku Adalah Wanita


Cerpen kedua yang tak seberapa.. maaf andai ada kekurangan. fitrah saya, hamba kerdil yang baru belajar..

KERANA AKU ADALAH WANITA

 

            Zunairah berjalan laju menuju ke arah garaj kereta bersebelahan wad kecemasan hospital. Hampir satu jam dia menunggu kelibat seseorang yang telah meledakkan api kemarahan dalam hatinya. Setelah sekian lama menanti, akhirnya Aizuddin tiba jua melangkah menuju ke arah kereta. Bimbang Aizuddin akan terus berlalu tanpa menyedari kehadirannya, Zunairah terus memanggil kasar nama insan yang selama ini cukup dihormati sebagai bakal abang ipar.

“Abang Din!”.

“Eh, Erah. Kenapa tiba-tiba boleh berada di sini? Erah sakit ke?”. Aizuddin yang sedikit terkejut masih mencuba untuk berbasa-basi. Namun kekeruhan yang terlukis di wajah gadis manis di hadapannya membuat fikirannya mula menjadi curiga.

“Ya. Memang Erah sakit. Erah sakit hati. Erah marah dengan Abang Din. Sampai hati Abang Din buat Kak Nor macam tu. Mana pergi sikap perikemanusiaan Abang Din selama ni? Mana pergi semua kebaikan yang Abang Din pamerkan di hadapan kami sekeluarga?  Mana?”. Zunairah hampir tidak dapat menahan kemarahan yang selama ini disimpan. Kasih dan hormat yang ditujukan kepada lelaki di hadapannya sebagai bakal abang ipar dahulu kini sudah hilang sekelip mata. Mengenangkan apa yang telah terjadi pada satu-satunya kakak kesayangan yang selama ini disangkakan bahagia, hatinya bertambah sakit. Bencinya pada lelaki di hadapannya kini semakin meluap-luap.

“Apa yang Erah cakap ni? Abang Din tak faham la. Cuba jelaskan baik-baik”.

“Tak faham ke atau sengaja buat-buat tak faham? Jangan nak berlakon depan Erah la, Abang Din. Erah muak tau tak nak tengok semua ni.” Tangan Zunairah sudah menggigil. Kemarahan yang sedang membuak semakin sukar untuk dikawal.

“Erah, Abang Din memang betul-betul tak faham. Cuba Erah bertenang dahulu. Terangkan satu-persatu pada Abang Din apa sebenarnya yang dah berlaku sehinggakan Erah marah Abang Din sampai macam ni sekali”. Aizuddin yang memang tidak mengerti dengan situasi yang di hadapinya sekarang, mula tercabar apabila gadis di hadapannya itu asyik meninggikan suara sejak dari tadi. Sesekali dia mengerling sekeliling. Bimbang ada mata yang memandang.

“Abang Din suruh Erah terangkan apa lagi? Cuba Abang Din ingat balik, apa yang dah Abang Din lakukan pada Kak Nor semalam? Sampai hati Abang Din tinggalkan Kak Nor dalam hujan tanpa sedikitpun rasa kasihan. Abang Din memang kejam. Inikah balasan Abang Din untuk setiap kebaikan dan penantian Kak Nor selama ini?”. Air mata yang ditahan akhirnya mengalir jua dari kelopak mata. Perlahan Zunairah menyeka. Dia tidak mahu air jernih yang mengalir itu dilihat oleh lelaki yang dianggapnya tidak mempunyai hati selayaknya manusia.

            Aizuddin meraup mukanya. Peristiwa petang semalam kembali berputar di layar ingatan. Hanya kerana Nor Aisyah meminta dia meluangkan sedikit waktu untuknya setiap hari selepas waktu kerja, Aizuddin tiba-tiba marah lalu meninggalkan gadis yang dicintainya itu di tepi jalan. Belum pun jauh dia memecut keretanya, hujan lebat mula menyiram bumi yang kering. Beberapa kali telefon bimbitnya berdering menunjukkan panggilan masuk dari wanita yang ditinggalnya tadi, namun dia langsung tidak menghiraukannya. Hatinya sakit kerana Nor Aisyah dianggap mementingkan diri sendiri. Tidak mahu memahami kerjayanya sebagai seorang doktor yang terpaksa menghabiskan banyak masa di hospital. Sehingga ke hari ini, dia langsung tidak bertanyakan khabar kekasih hatinya itu. Apa yang telah berlaku, dia langsung tidak bertanya atau mengambil tahu. Dia sendiri tidak mengerti walhal memang dia akui, Nor Aisyah merupakan satu-satunya wanita yang amat memahami dan mengerti setiap perasaan dan kerjayanya.

“Abang Din minta maaf. Abang Din tak sengaja. Apa yang dah berlaku pada Kak Nor, dik? Tolong beritahu Abang Din”.

“Apa Abang Din cakap? Tak sengaja? Huh, alasan yang paling bodoh yang pernah Erah dengar keluar dari mulut Abang Din. Meninggalkan Kak Nor dalam hujan seorang diri pada waktu lewat petang, Abang Din cakap tak sengaja. Erah memang tak faham dengan sikap Abang Din. Kak Nor tu ada asma. Erah rasa Abang Din pun tahu hal tu. Disebabkan sikap Abang Din yang tak bertanggungjawab, Kak Nor sakit teruk dan terpaksa dikejarkan ke hospital semalam. Kami sekeluarga memang tidak dapat terima apa yang dah Abang Din lakukan pada Kak Nor”.

“Apa? Kak Nor sakit? Erah, Abang Din tahu Abang Din dah buat salah pada Kak Nor dan Erah sekeluarga. Tapi percayalah, Abang Din masih sayangkan Kak Nor. Abang Din tetap cintakan dia seumur hidup Abang Din. Di mana Kak Nor sekarang? Abang Din ingin berjumpa dia”. Aizuddin sekali lagi meraup wajah dan memejamkan matanya seketika. Sekilas wajah Nor Aisyah terbayang. Dia rasa bersalah tiba-tiba.

“Sudah terlambat, Abang Din. Kak Nor sekarang sedang tenat bertarung dengan maut sendiri. Semuanya kerana perbuatan bodoh Abang Din”. Erah akhirnya berlalu dengan tangisan yang semakin kuat. Dia berlari menuju ke wad tempat kakaknya sedang dirawat.

Aizuddin yang melihat dari jauh agak terpana. Hatinya semakin kuat tertanya-tanya. Apakah Nor Aisyah dirawat di hospital ini? Dia teringat kembali pada cerita Doktor Rashid, sahabatnya sewaktu makan tengah hari tadi.

*     *     *     *     *

“Kau tahu Din, aku sekarang sedang merawat seorang pesakit asma. Semalam, ada seorang gadis yang dimasukkan ke hospital ini dalam keadaan tenat. Asmanya menyerang sewaktu dia berlari pulang dalam hujan. Bahkan pakaiannya juga masih basah kuyup sewaktu dihantar ke wad kecemasan. Tapi bukan keluarganya yang menghantar dia ke sini, ada sepasang suami isteri menjumpai dia terbaring di tepi tiang lampu jalan. Gadis itu pengsan di situ. Nasib baik ada yang sudi membantu. Aku kasihan melihat dia. Keluarganya yang datang setengah jam kemudian, semuanya kelihatan sedih. Perasaan aku ingin sekali bertanya, apa sebenarnya yang telah berlaku pada gadis itu. Tapi hati aku sedikit ragu. Aku bimbang perasaan ahli keluarganya semakin sedih. Jadi, aku pendamkan dahulu perasaan ingin tahu”.

“Bagaimana keadaan dia sekarang? Semakin baik atau sebaliknya?”.

“Aku amat mengharapkan agar dia kembali sihat. Telah aku cuba sebaik mungkin dan berusaha semampunya untuk menyelamatkan dia. Pagi tadi keadaannya sedikit stabil. Namun aku bimbang, Din. Kau faham kan, aku sudah sering mendapat kes yang seperti ini, keadaan dia aku lihat seakan-akan tiada harapan”.

“InsyaALLAH, gadis itu akan selamat. Sebagai doktor, berusahalah lakukan yang terbaik. Ingat, Shid. Apa pun yang berlaku, semuanya sudah ditentukan. Kita sebagai doktor, hanya mampu berusaha, tapi yang menyembuhkan sakit setiap insan yang kita rawat, semuanya kerja ALLAH”.

*     *     *     *     *

Aizuddin merasakan kakinya sedikit menggigil. Apakah gadis yang sedang dirawat oleh sahabatnya kini adalah kekasih hatinya? Dengan sedikit kekuatan yang ada, Aizuddin melangkah menuju ke wad tempat sahabatnya bertugas. Semakin dekat dia dengan wad yang dituju, jantungnya semakin kuat berdegup. Apakah perasaannya benar? Gadis yang sedang Rashid rawat adalah Nor Aisyah? Ya ALLAH, ampuni setiap kesalahanku. Selamatkan Nor Aisyah walau dalam keadaan apa pun dia sekarang. Aizuddin berdoa di dalam hati. Kaki yang dihayun langkah sejak dari tadi akhirnya berhenti apabila dia terlihat kelibat Doktor Rashid yang keluar dari sebuah bilik.

“Shid!”. Aizuddin terus memanggil sahabatnya.

“Eh, apa kau buat kat sini, Din? Bukankah tadi kau dah nak balik?”. Rashid yang melihat rakan sejawatnya yang tiba-tiba berada di wad tempat dia bertugas sedikit kehairanan.

“Shid, siapa nama pesakit asma yang kau sedang rawat sekarang?”. Aizuddin memegang bahu kawannya. Hatiya begitu ingin untuk mengetahui nama pesakit doktor muda di hadapannya itu.

“Oh, pesakit yang aku ceritakan tengah hari tadi ke? Kalau tak silap, Nor Aisyah namanya. Kenapa, Din?”. Kehairanan yang menerjah di fikiran Rashid semakin ketara apabila Aizuddin bertanyakan nama pesakit yang sedang dirawatnya.

“Nor Aisyah Binti Ismail?”. Aizuddin bertanya lagi untuk mendapatkan kepastian.

“Ya, Nor Aisyah Binti Ismail. Tapi, mana kau tahu nama penuh dia? Kau kenal dia ke, Din?”. Rashid yang melihat Aizuddin di hadapannya yang kelihatan sedikit menggigil segera memaut lengan sahabatnya itu. Walaupun pada saat itu, hatinya meronta ingin tahu apa kaitan antara sahabatnya itu dengan pesakit yang sedang dirawatnya sekarang, namun keadaan sahabatnya itu telah membantutkan keinginannya.

“Shid, tolong bawa aku ke bilik Nor Aisyah ditempatkan. Aku ingin jumpa dia, Shid. Tolong aku, Shid”. Aizuddin memaut lengan rakan sejawatnya. Mengetahui bahawa pesakit Rashid sebenarnya adalah wanita yang dipujanya selama ini, hatinya bagaikan direntap dengan kuat. Resah, gelisah, takut, bimbang, sedih, bersalah, semuanya bercampur dalam satu perasaan yang sukar untuk dia sendiri tafsirkan.

“Okey-okey. Aku boleh bawa kau sekarang. Lagipun sekarang masih lagi dalam waktu melawat. Keluarga Nor Aisyah juga ada bersama”. Rashid lalu membawa Aizuddin pergi ke wad tempat pesakitnya berada. Hatinya semakin kuat ingin tahu, apa kaitan antara sahabat dan pesakitnya itu.

            Semua mata memandang ke arah pintu sebaik sahaja Aizuddin dan Rashid melangkah masuk. Zunairah yang melihat kehadiran Aizuddin mula mencerlung matanya. Kemarahan yang dipendam selama ini hampir meletus kembali.

“Untuk apa lagi Abang Din datang ke sini? Belum puas lagi melihat penderitaan Kak Nor? Atau sengaja datang untuk bertepuk tangan?”. Zunairah terus menghambur kata. Bahunya dipegang oleh ayah yang berdiri di sebelah.

“Sabar, Erah. Tak ada gunanya kau marah seperti ini. Benda sudah terjadi. Ini semua takdir Illahi. Jangan terlalu ikutkan kata hati. Bimbang Kak Nor akan terjaga nanti”, dengan penuh hikmah, Encik Ismail memujuk dan mengawal emosi anak gadisnya yang bongsu itu. Bimbang jika dibiarkan, akan menimbulkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini.

“Bagaimana Erah boleh bersabar, ayah. Melihat setiap perlakuan Abang Din pada Kak Nor, hati Erah sendiri juga turut hancur. Agaknya Abang Din memang sengaja merancang semua ini. Puas hati Abang Din sekarang? Kak Nor sudah terlentang tiada tenaga. Hadiah dari kasih sayang Abang Din selama ini. Terima kasih banyak, Doktor Aizuddin. Untuk setiap kebahagiaan yang diberikan pada Kak Nor”. Erah terus menoleh dan berlalu ke arah ibu yang sejak dari awal hanya berteleku di sisi katil anaknya. Dipeluknya erat tubuh ibu yang kemas menggenggam tangan kakaknya itu. Air mata yang baru sahaja berhenti mengalir akhirnya tumpah lagi. Hatinya luka bagai disayat duri selumbar mengenangkan perlakuan bakal abang iparnya itu terhadap satu-satunya kakak yang dia sayangi.

“Erah, ayah, ibu. Zuddin tahu, Zuddin telah melakukan satu kesilapan besar hingga menyebabkan Nor terlantar sakit di sini. Zuddin amat menyesali semua yang telah Zuddin lakukan. Berilah peluang pada Zuddin untuk menebus setiap kesalahan Zuddin. Hukumlah Zuddin semahunya. Namun, Zuddin mohon, ampunkan setiap kesalahan dan kesilapan Zuddin yang dianggap keterlaluan. Zuddin memang tidak menduga semua ini akan terjadi. Zuddin terlalu ikutkan kata hati. Zuddin pentingkan diri sendiri. Ampunkan Zuddin, ayah. Ampunkan  Zuddin, mak. Ampunkan Abang Din, Erah. Abang Din kesal dengan apa yang telah Abang Din lakukan”. Aizuddin menerpa ke arah bakal bapa mertuanya. Dia melutut dan menggenggam erat tangan ayah tunangan yang dicintainya itu, memohon agar diampunkan setiap kesalahannya yang dianggap keterlaluan. Air matanya tumpah jua. Keegoannya yang selama ini dipertahankan kini tidak lagi dipedulikan. Hari ini, mata hatinya telah terbuka sepenuhnya. Bahawa keegoan yang terlampau itu akhirnya memakan diri sendiri. Tubuhnya terhinggut-hinggut menahan tangis. Kesalnya menggunung. Kebimbangannya bertimbun. Bimbang diri tidak diampunkan. Bimbang kekasih hati tidak dapat diselamatkan. Dalam hatinya, sejuta doa dipanjatkan. Seribu ampun dipohonkan. Agar harapannya yang semakin kelam, akan terus kembali bersinar terang.

“Aizuddin, sudahlah. Seharusnya kau tidak merayu seperti ini pada ayah. Memang hati kami sekeluarga terluka. Kami kecewa apabila anak gadis kami diperlakukan sebegini rupa. Namun, seberat-berat mata kami memandang penderitaan Nor, berat lagi bahunya yang menanggung semua ini. Sewajarnya kau memohon ampun dari satu-satunya Tuhan Rabbul Izzati. Kemudian mohonlah maaf dari Nor sendiri. Ayah harap, dengan apa yang telah terjadi, kau akan membuka mata dan mengambil iktibar dari semuanya. Bangunlah, nak. Tidak perlu melutut pada ayah. Kami semua hanya insan biasa. Tiada walau sedikit pun hak untuk terus menyimpan dendam sesama manusia. Ayuh, bangun”. Encik Ismail memegang bahu tunangan anak gadis dihadapannya agar segera bangun. Dipeluknya tubuh sasa lelaki yang pernah berjanji untuk menabur kebahagiaan dalam hidup anak gadisnya yang sedang terbaring lesu di suatu sudut dalam bilik itu. Hati seorang ayah, sekali melihat anaknya tersenyum, kebahagiaannya menguntum. Bila anak menangis derita, kesedihan memeluk jiwa.

            Doktor Rashid yang semakin hairan melihat perlakuan sahabat dan keluarga pesakitnya mula bersuara. Teka-teki yang selama ini bermain dalam hatinya perlukan jawapan segera.

“Maaf sekiranya saya lancang bertanya. Mungkin saya tidak wajar untuk mencampuri urusan peribadi Encik Ismail sekeluarga dan Aizuddin, tapi keinginan saya untuk mengetahui perihal sebenar semakin bertambah apabila saya melihat apa yang telah terjadi. Boleh jelaskan pada saya apa punca sebenar yang menyebabkan pesakit saya, Nor Aisyah mendapat ujian seperti ini?”.

Semua mata memandang tepat ke arah Doktor Rashid sejurus selepas dia bertanya. Namun tiada yang bersuara untuk menjelaskan tanda tanya yang wujud dalam hati doktor muda itu. Waktu terus berlalu. Suasana bisu akhirnya terhenti apabila Zunairah bangkit memberi jawapan untuk pertanyaan doktor yang telah berusaha merawat kakaknya itu.

“Tidak mengapa, doktor. Tidak salah bertanyakan tentang apa sebenarnya yang telah terjadi. Doktor telah banyak membantu kami. Lagipun, Kak Nor adalah pesakit doktor, dan Abang Din juga sahabat doktor. Biar saya jelaskan apa yang dah teman baik doktor ni lakukan pada Kak Nor. Supaya doktor dapat nasihatkan Abang Din tentang keindahan hadiah kasih sayang dia sehingga Kak Nor terlantar sakit dalam wad ini”. Erah memandang ayah, ibu, Aizuddin dan seterusnya kakaknya yang masih terbaring. Sambil tangannya mengusap lembut rambut kakaknya, Zunairah kembali menyambung kata.

“Kak Nor semalam telah ditinggalkan dalam hujan lebat. Hanya sedikit pertelingkahan yang berlaku, Abang Din meninggalkan Kak Nor sendirian di tepi jalan, sedangkan waktu itu sudah lewat petang. Kasihan Kak Nor, kasih sayangnya pada tunangan yang amat dicintai selama ini tidak pernah dihargai. Mengapa kau terlalu polos, kak? Masih setia mencintai lelaki yang telah sering melukakan hati kau sendiri?”. Zunairah tunduk mencium dahi kakaknya. Setitis air mata menitik jua ke wajah kakaknya itu.

            Doktor Rashid yang mendengar berita yang disampaikan oleh gadis bertudung di hadapannya itu agak terpana seketika. Hatinya tertanya-tanya, apakah benar Aizuddin melakukan apa yang telah gadis tadi ceritakan. Di manakah perikemanusiaan dan kebaikan sahabatnya yang sering terpamer selama ini? Doktor muda itu seakan tidak percaya, namun itulah hakikat yang harus dia terima. Pandangannya diarahkan tepat kepada Aizuddin. Sahabatnya itu hanya diam sambil tangannya meraup muka sendiri. Kekesalan jelas terpancar di wajahnya. Perlahan-lahan, Rashid melangkah menuju ke arah sahabatnya itu.

“Din, hati aku berat untuk terima apa yang telah kau lakukan pada tunang kau sendiri. Tapi inilah hakikatnya dan aku terpaksa akur dengan jawapan yang aku terima untuk setiap kemusykilan aku sejak dari tadi. Aku harap kau insaf dan jadikan semua ini sebagai pengajaran untuk masa depan kau. InsyaALLAH, aku akan cuba yang terbaik untuk selamatkan nyawa tunang kau. Berdoalah semoga Nor Aisyah kembali sembuh dan kau mendapat peluang kedua untuk menebus kesilapan kau. Aku keluar dulu”. Rashid menepuk bahu sahabatnya beberapa kali sebelum bersalam dengan Encik Ismail lalu berlalu keluar. Kalau diikutkan hatinya, memang dia ingin terus berada di situ, namun tugasan lain yang menuntut komitmen darinya menghalang niatnya itu.

            Perhatian setiap orang yang berada dalam bilik tersebut kepada Doktor Rashid yang berlalu keluar akhirnya beralih arah apabila terdengar suara halus yang keluar dari gadis yang terbaring lesu. Nor Aisyah yang tidur sekian lama akhirnya terjaga. Semua ahli keluarganya termasuk Aizuddin menerpa ke arahnya.

“Nor dah bangun. Syukur pada Tuhan”. Puan Yani memanjatkan rasa syukur. Namun senyuman yang terukir di wajahnya hilang apabila Nor Aisyah bersuara sayu.

“Ibu, ayah. Ampunkan setiap kesalahan Nor selama ini. Halalkan setiap apa yang telah Nor makan dan minum. Redhakan setiap titik peluh dan jasa ibu dan ayah untuk membesarkan Nor”. Kelihatan agak sukar untuk Nor Aisyah menyusun kata dan mengatur nafasnya.

“Jangan berkata begitu, sayang. Ibu dan ayah sentiasa redha dengan setiap apa yang telah kami berikan pada Nor dan Erah”. Puan Yani mengusap lembut dahi anak gadisnya itu.

“Erah, maafkan akak ye. Akak tidak mampu tunaikan janji akak untuk terus bersama Erah. Saat untuk akak pergi sudah tiba. Jadi anak yang baik ye, dik”. Zunairah yang mendengar suara sayu kakaknya memeluk erat ayah disebelah. Hatinya begitu sayu melihat penderitaan kakaknya.

“Nor, maafkan abang, sayang. Abang bersalah pada Nor. Abang tidak adil pada setiap kasih sayang Nor. Maafkan abang. Nor perlu kuat, sayang. Nor perlu sihat. Abang ingin jaga Nor. Izinkan abang tebus kembali setiap kesalahan abang pada Nor”. Giliran Aizuddin pula yang bersuara perlahan. Air mata lelakinya menitis jua melihat satu-satunya gadis yang dipuja berada dalam keadaan derita.

“Nor sudah lama maafkan abang. Maafkan Nor kerana gagal memahami abang. Nor doakan abang mendapat wanita yang lebih baik dari Nor”. Sebaik mungkin Nor Aisyah cuba mengukirkan senyuman. Namun apa yang terukir di wajahnya hanya senyuman yang tawar dan hambar. Dia penat. Nafasnya turun naik. Aizuddin segera memanggil sahabatnya yang telah keluar sebentar tadi. Hatinya dikuasai perasaan bimbang. Melihat keadaan Nor Aisyah, apakah dia masih mempunyai harapan.

            Terdengar suara syahdu Encik Ismail membisikkan kalimah syahadah ke telinga anak gadisnya sewaktu Doktor Rashid dan beberapa orang jururawat tiba. Zunairah dan ibunya saling berpelukan menghadapi situasi yang begitu sukar. Aizuddin yang membantu sahabatnya memeriksa Nor Aisyah tiba-tiba kaku apabila tangan tunangan yang dipegangnya terkulai. Hatinya sebak tiba-tiba. Nor Aisyah, akhirnya kau pergi jua. Innalillahi wa inna ilaihi raji‘unn... Tangisan halus kedengaran memecah kehambaran suasana dalam bilik tersebut.

*     *     *     *     *

            Tanah perkuburan akhirnya ditinggalkan Aizuddin dengan hati yang sayu. Kesalnya kerana memperlakukan ketidakadilan terhadap arwah tunangannya masih ketara. Dalam kereta, Aizuddin menangis semahunya. Bukan tidak meredhai pemergian insan yang disayangi, tapi menyesali sikap sendiri yang tidak tahu menghargai. Lama dia dalam keadaan begitu sebelum akhirnya memecut kereta membelah jalan raya. Dia ingin ke rumah arwah tunangannya dahulu sebelum pulang ke rumahnya. Kereta dipandu bersama ingatannya yang masih tebal terhadap arwah Nor Aisyah.

            Perkarangan rumah Encik Ismail dipenuhi orang ramai sewaktu Aizuddin tiba. Setelah keluar dari keretanya, Aizuddin segera memberi salam dan menaiki rumah itu apabila melihat ayah arwah tunangannya memanggil dari ruang tamu. Di sana sini orang ramai mengucapkan takziah. Aizuddin mencapai tangan orang tua di hadapannya. Dikucupnya syahdu sambil mulutnya tidak berhenti-henti memohon maaf. Air matanya sekali lagi keluar tanpa dapat ditahan. Lantas tubuhnya dipeluk erat oleh ayah tunangnya itu. Dua lelaki yang teramat kasihkan seorang gadis bernama Nor Aisyah, berpelukan erat bersama tangisan dan kesedihan. Tamu yang datang hanya mampu memandang.

“Sudahlah, nak. Jangan terlalu rasa bersalah pada diri sendiri. Setiap yang berlaku adalah qada’ dan qadar yang telah ditetapkan oleh ALLAH sejak azali. Seharusnya kita redha dengan ujian ini. Biarkan Nor Aisyah pergi dengan tenang. Jangan ditangisi kepulangannya pada Illahi. Sebaliknya bersamalah kita doakan agar rohnya ditempatkan bersama barisan hamba yang dicintai ALLAH”. Encik Ismail menepuk-nepuk lembut bahu lelaki yang pernah hadir dalam hidup arwah anak gadisnya itu.

“Zuddin, ini adalah barang peninggalan arwah. Ambillah. Hanya kau yang layak menyimpan benda ni. Semua yang tertulis dalam tu, hanya berkaitan tentang engkau dan arwah”. Puan Yani yang tiba-tiba keluar segera menghulurkan barang peninggalan arwah anak gadisnya kepada Aizuddin.

            Aizuddin mengambil pemberian dari wanita di hadapannya. Sebuah diari biru yang masih kelihatan baru. Mungkin hasil dari penjagaan yang rapi.

“Terima kasih, mak. Zuddin akan jaga diari ni dengan baik. Erah mana, mak? Boleh Zuddin jumpa dia sekejap?”.

“Erah ada dalam bilik arwah. Pergilah jumpa dia. Dari semalam, dia hanya membisu. Langsung tidak berkata-kata”. Puan Yani berjalan mendahului Aizuddin untuk berlalu ke bilik arwah Nor Aisyah, tempat Zunairah memencilkan diri.

            Pintu diketuk beberapa kali sebelum dibuka dari luar. Puan Yani yang melihat keadaan satu-satunya anak gadis yang masih ada, sedikit tersentuh. Zunairah begitu rapat dengan kakaknya. Pemergian Nor Aisyah masih sukar untuk dia terima.

“Erah, jangan terus bersedih, nak. Yang pergi, biarkan pergi dengan tenang. Kita yang masih hidup, perlu kuat semangat dan teruskan hidup seperti biasa”. Lembut suara seorang ibu memujuk hati anak yang berduka. Aizuddin yang melihat sedikit tersentuh hatinya. Dia faham apa yang gadis di hadapannya itu rasakan, kerana dia juga turut merasai perasaan yang sama. Rasa sedih, sayu, kasih dan rindu pada Nor Aisyah.

“Erah, Abang Din minta maaf. Abang Din tahu, Erah masih marahkan Abang Din. Abang Din gagal melunaskan janji Abang Din untuk membahagiakan Kak Nor. Abang Din ingin pulang. Abang Din redha sekiranya Erah ingin terus membenci Abang Din sepanjang hidup Erah. Sebelum pergi, sekali lagi Abang Din mohon. Maafkan abang, dik”. Aizuddin akhirnya keluar dari bilik tersebut apabila Zunairah langsung tidak memberikan sebarang reaksi. Hati lelakinya sedikit tersentuh.

*    *     *     *     *

            Selesai solat isyak, Aizuddin melabuhkan punggungnya di birai katil. Diari biru milik arwah tunangnya dibuka dan dibelek sehelai demi sehelai. Pada muka hadapan diari itu tertulis kata-kata;

“Buku ini, bukan hanya buku biasa. Tapi buku ini adalah tempat hatiku berbicara. Kerana hanya padanya aku bisa meluahkan segala”

Kesedihan yang ditanggungnya semakin bertambah apabila membaca setiap luahan hati arwah Nor Aisyah yang tidak mampu untuk dikongsi bersamanya. Semuanya hanya kerana sikapnya yang terlalu ego dan mementingkan kerja sehingga mengabaikan perasaan seorang gadis yang amat menginginkan perhatiannya selama ini.

            Kata orang, apabila diri dilamun cinta, maka hidup akan bahagia. Kata orang lagi, apabila bertengkar dalam bercinta, itu adalah lumrah biasa. Ujian dalam bercinta. Namun itu semua kata orang. Kataku pula bagaimana? Perlukah sama dengan mereka semua yang berkata sedangkan apa yang dialami cukup berbeza.

            Aizuddin. Satu nama yang sentiasa aku sebut dalam diam. Satu nama yang aku ukir dalam ruang hati yang paling dalam. Dia insan pertama yang bertakhta dalam hati. Dia yang pertama beraja di sanubari. Dan dia jugalah insan pertama, yang mana disaat aku mendengar suaranya, maka hati dan perasaanku tenang dan berbunga ceria. Ya Tuhan, sungguh aku amat mencintainya. Terima kasih untuk perasaan yang indah ini.

            Namun, inilah hakikatnya cinta antara aku dan dia. Kemanisan dalam perhubungan kami hanya pada awalnya sahaja. Hari ini, kemanisan itu sudah semakin hilang. Kehambaran mula menghiasi setiap ruang. Terlalu susah untukku ketawa atau mendengar tawa kecil darinya saat sesekali kami berbual. Kenapa semua ini terjadi? Apakah aku langsung tidak meluangkan masa untuknya? Atau Aizuddin sendiri yang hanyut dengan dunia kerjanya tanpa menyedari bahawa ada seorang gadis yang menagih perhatiannya di sini.

* Aizuddin, tidakkah terdetik walau sekejap dalam hatimu, bahawa di sini, wanita yang telah kau lamar cintanya sedang menanti. Menanti dan terus menanti. Menanti untuk mendengar suaramu setiap hari.

            Aizuddin menyeka air matanya. Betapa dalamnya kasih Nor Aisyah pada dirinya. Mengapa selama ini hatinya begitu buta dalam menilai gadis yang dipujanya sendiri.

            Hari ini, butiran jernih gugur lagi dari kelopak mata. Aku terlalu merinduinya. Namun kerinduan ini tidak akan pernah terubat, kerana Aizuddin tidak akan pernah mengerti. Sudah berminggu kami tidak berhubung. Aku tidak tahu, dan aku tidak pasti. Apakah aku benar-benar wujud dalam hatinya atau aku sekadar perhiasan yang langsung tiada makna. Kesibukannya makin bertambah dan kesepian aku makin terserlah. Tumpuannya hanya pada kerja dan aku entah masih wujud atau tidak dalam hatinya.

            Aku penat. Akhirnya aku pasrah. Aku kalah. Waktu Aizuddin memang terlalu mahal dan aku tidak mampu untuk memilikinya walau sesaat. Untuk seketika, aku tewas dengan perasaanku. Aizuddin kurasakan bukan lagi milikku. Duniaku sudah kembali seperti bertahun dahulu. Kosong. Aku bukan siapa-siapa padanya dan dia juga bukan siapa-siapa bagi diriku. Aku akur.

            Apakah selama ini cintaku sekadar bertenggek di pinggiran hatinya. Atau aku hanya pendatang yang dijemput dan akhirnya ditolak pergi. Aku kekasih yang terpaksa merayu demi secebis kasih dari kekasih sendiri. Apakah ada insan yang turut merasai apa yang selama ini aku rasakan? Apakah bagi Aizuddin, aku hanya melukut di tepi gantang?

* Aizuddin, demi secebis kasihmu, aku tewas dengan mainan cinta kita. Sungguh saat ini, aku berasa amat tidak dihargai. Hadirnya diriku dalam hidupmu langsung tidak membawa erti. Asaku semakin menipis kini.

            Aizuddin menahan sebak yang menguasai dadanya. Setiap luahan hati Nor Aisyah yang tertulis dalam diari biru itu begitu menyayat hatinya. Sesekali dia menyumpah diri sendiri, mengapa dia begitu ego dan bodoh. Gadis yang dilamar cintanya itu, terlalu baik dan polos. Begitu kejam dirinya kerana memperlakukan Nor Aisyah sebegitu rupa. Aizuddin menyeka air matanya. Dia ingin terus menyelami perasaan Nor Aisyah dalam diari biru itu.

            Wahai diari biru, hari ini aku datang lagi untuk mengadu padamu. Bercerita tentang kedukaan hatiku yang tak mampu untuk dikongsi dengan sesiapa. Hanya pada ruangan dadamu dan pada Rabbi tempat aku mencurahkan setiap isi hati.

Sudah berhari-hari tidur malamku diganggu mimpi yang meresahkan. Mimpi di mana aku sedang menanti Aizuddin. Menanti dan terus menanti dengan sangat lama. Hingga aku akhirnya pergi selamanya bersama penantianku sendiri. Aizuddin saat itu langsung tidak menoleh padaku. Bahkan dia semakin lama semakin jauh. Sungguh aku amat resah dengan mimpi yang berulang kali ini.

Ya Rabbi, kekalkan cintaku ini pada Aizuddin dan kekalkan jua cintanya padaku. Cinta itu amat indah. Begitu Maha Hebat Engkau menciptakan cinta. Berikan kebahagiaan dan ketabahan padaku, Ya Rabbi. Aku bimbang kalau-kalau aku penat menjaga cinta yang langsung tak pernah dihargai.

* Aizuddin, cinta yang wujud dalam hubungan ini adalah kerana Rabbi. Namun kau mencorakkan cinta ini dengan warna yang tiada seri. Andai mimpi itu benar-benar terjadi, andai aku nanti dijemput Illahi, apakah aku masih akan gagal mendapatkan waktumu yang mahal itu untuk sepotong al-Fatihah buat ketenangan rohku? Seandainya tidak membebankan dirimu, mohon tunaikan permintaan terakhirku ini.

            Aizuddin semakin tidak mampu mengawal sebak di dadanya. Hari ini, baru dirinya sedar, bahawa Nor Aisyah amat menderita sepanjang bersamanya. Mengapa hatinya begitu keras membiarkan perasaan halus seorang gadis berlalu bersama penantian yang menyeksakan. Nor, maafkan abang, sayang. Terlalu banyak abang mendera perasaanmu. Aizuddin, hatimu memang sekeras batu, kaku umpama kayu. Aizuddin beralih pula kepada lembaran yang baru dalam diari biru itu.

            Sedih dan rindu yang ditanggung sekian lama semakin hebat gelojaknya. Semuanya merentap keceriaanku. Aku sudah tiada keinginan untuk tersenyum dan ketawa ceria. Setiap saat yang berlalu terlalu mendera perasaanku. Lalu, bagaimana aku bisa tersenyum dan ketawa ceria dalam hati yang sedang berduka? Wahai diari biru, ceria dan manjaku sudah hilang bersama asa dan tekad yang kian terlerai. Apakah aku sudah berputus asa terhadap kasih sayang Aizuddin? Aku tidak tahu.

            Setelah terlalu lama masa berlalu, Aizuddin akhirnya menghantar satu pesanan ringkas padaku. Namun kata-katanya yang singkat itu sudah cukup untuk melumatkan setiap inci hatiku yang sudah sedia hancur. Aku tidak mampu untuk mencoretkan “kata manisnya” di ruangan dadamu ini, hai diari biru. Biar aku simpan sahaja dalam ingatan, kerana melakarkannya di sini hanya akan mengalirkan air jernih dari kelopak mata.

* Aizuddin, jutaan terima kasih atas layananmu yang “mesra”. Setelah cintaku kau lamar, akhirnya kau hiasi kekosongan hatiku dengan warna cintamu yang kelam.
* Diari biru, terima kasih juga kerana dengan setia mendengar hatiku merintih duka. Seandainya kau dapat melihat, kesuraman hatiku semakin terserlah. Apakah tembok cintaku bersama Aizuddin akan terus utuh atau tumbang jua akhirnya? Aku tidak pasti.

            Aizuddin menutup seketika diari biru di tangannya. Hanya Tuhan yang tahu, bagaimana pada saat ini, hatinya menjerit menyesali setiap perlakuan dan layanannya pada arwah Nor Aisyah. Tidak dapat dia membayangkan penderitaan yang ditanggung oleh tunangnya itu sepanjang menjalin cinta dengannya. Tangisannya semakin tidak dapat ditahan apabila mengingatkan sikapnya yang tidak bertanggungjawab, meninggalkan Nor Aisyah sendirian di tepi jalan dalam hujan lebat. Lama dia menangis melayan hati pilu sebelum kembali menyelami isi hati arwah tunangannya yang terkandung dalam diari biru di tangan.

            Hari ini, seperti hari-hari yang lain. Masih lagi aku melewati setiap saat yang berlalu tanpa sebarang khabar darinya. Diari biru, seandainya engkau juga manusia sepertiku, mohon pinjamkan bahu dan dadamu. Aku ingin menangis semahunya. Kerana hanya tangisan yang mampu meredakan setiap perasaan dukaku saat ini.

            Aizuddin, mengapa terlalu sukar untuk kau mengerti? Telah ku cuba yang terbaik untuk memahami diri dan kerjayamu. Telah ku ikut setiap kemahuanmu. Namun mengapa tidak pernah walau sekali kau cuba untuk memahami perasaan dan isi hatiku? Setiap kali aku mencuba mendapatkan sedikit waktumu yang mahal, kau hanya akan marah dan bertanya, mengapa aku begitu inginkan perhatian darimu? Apakah engkau benar-benar mahu tahu kenapa aku meminta semua itu?

            Diari biru, seandainya suatu hari nanti, mimpiku dulu benar-benar terjadi dan aku dijemput Illahi, mohon kau sampaikan jawapan ini pada Aizuddin. Kenapa aku setiap hari menanti khabar darinya? Kenapa setiap hari aku menanti cahaya kasih darinya? Kenapa setiap hari aku begitu ingin dihargai olehnya? Semuanya kerana aku adalah seorang wanita. Telah Rabbul Izzati anugerahkan pada diriku naluri kewanitaan yang begitu lembut dan hati yang begitu halus. Aku ingin dihargai selayaknya sebagai pasangan hidupnya, dan aku juga ingin dicintai sebagaimana aku memancarkan cahaya cintaku padanya. Apakah keinginanku ini salah sedangkan aku tunangnya?

* Aizuddin, aku kini sudah terlalu penat. Mohon izinkan aku berehat selamanya dari terus menanti kasihmu yang tidak pernah bersinar cahayanya untukku. Aku sudah begitu sabar menanti, namun aku tidak pernah dihargai. Aku terlalu inginkan kasih sayang dan cintamu. Aku terlalu inginkan penghargaan selayaknya sebagai pasangan hidupmu. Aku terlalu inginkan semua itu. Semuanya kerana aku adalah wanita. Wanita yang diciptakan dari rusuk kiri Adam. Bukan dari kepala untuk dijadikan atas, bukan jua dari kaki untuk dijadikan alas, tapi dari sisi untuk dijadikan teman. Dekat dengan lengan untuk dilindungi, dan dekat dengan hati untuk dicintai.

            Aizuddin memejamkan matanya serapat mungkin. Saat ini, dia sudah tidak mampu lagi membayangkan penderitaan demi penderitaan yang dialami Nor Aisyah. Mimpi-mimpinya yang meresahkan, harapannya yang tinggal harapan. Aizuddin akhirnya hanyut dalam kesedihan dan penyesalan. Dia ingin berehat seketika. Matanya dipejamkan bersama nawaitu yang tekad. Esok dia akan kembali lagi ke pusara arwah Nor Aisyah, memohon maaf dan menghadiahkan al-Fatihah untuk memenuhi keinginan dan harapan terakhir gadis yang amat dicintainya itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan