Assalamualaikum, pembuka bicara...

Selamat datang ke laman blog saya. Semoga anda semua mendapat sedikit ilmu yang berguna dari blog ini. Segala kekurangan amatlah dikesali, kerana yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu datangnya dari diri saya sendiri. Semoga semuanya berada di bawah naungan redha Illahi. InsyaAllah..

Ahad, Februari 07, 2010

Hebatnya Ayah Memberikan Nasihat

Assalamualaikum semua...

Bersua kembali dalam laman blog "Percaturan Menuju Destinasi - Fitrah Seorang Hamba" ini. Syukur pada Allah Rabbul Izzati kerana memberi kesembuhan kepadaku. Semoga kesembuhan ini akan berkekalan. Amiin. Kali ini aku ingin bercerita tentang ayah. Aku yakin semua orang dalam dunia ni akan menganggap ayah mereka merupakan ayah yang terbaik dalam dunia. Begitu juga dengan aku. Ayah adalah seorang insan yang banyak berjasa dan tidak pernah jemu membimbing aku tentang ilmu dunia dan akhirat. Terima kasih, ayah.

Untuk entry ini, aku ingin berkongsi bagaimana cara ayahku memberi nasihat kepada anak-anaknya tentang kehidupan. Waktu cuti semester yang lepas, aku telah dijemput untuk memberikan kata-kata nasihat atau motivasi kepada remaja kat kampung supaya lebih tabah dalam usaha mencari ilmu. Setelah selesai semua tanggungjawab yang diamanahkan aku pulang ke rumah dalam keadaan yang penat kerana kurang rehat. Tambah lagi dengan keadaanku pada waktu itu yang kurang sihat. Tiba-tiba, adikku telah meminta supaya aku masakkan makanan yang agak special la jugak. Katanya dah lama tak makan masakan aku kerana aku belajar jauh dari kampung halaman. Siap guna ayat psiko lagi.

Aku yang penat sangat waktu tu tetap masuk ke dapur untuk memasak tapi keikhlasan tu dah kurang. Niat memasak kerana Allah S.W.T dah hilang entah ke mana. Dengan muka masam ala-ala cuka, aku memasak. Siap merungut lagi. MasyaAllah, apa nak jadi la dengan aku ni. Adik minta tolong pun nak marah. Kalau ye pun penat, jangan la buat muka masam macam tu. Kesian adik.

Tiba-tiba, waktu aku sedang memasak, ayah rupa-rupanya memerhatikan sikapku. Kemudian ayah masuk ke dapur dan memanggil aku supaya dekat padanya. Dengan muka yang agak sedikit masam campur kelat, aku berjalan sambil tunduk mendapatkan ayah. Ayah bertanya kenapa sikapku pada hari itu agak berlainan. Sampaikan aku merungut dan masam apabila adik minta masakkan makanan. Aku bagitahu ayah bahawa aku penat. Semalaman aku tak tidur ditambah lagi dengan keadaan aku yang kejap demam kejap tak. Ayah kemudian bertanya, nak tak kalau ayah ceritakan satu kisah? Aku pandang ayah seketika sebelum menganggukkan kepala. Lalu ayah pun mulalah mendendangkan sebuah kisah yang terus mengubah nawaitu dan sikapku hingga ke hari ini. Kisahnya begini...

"Pada suatu hari, Rasulullah SAW telah mengunjungi anakandanya iaitu Siti Fatimah. Baginda melihat anakandanya sedang menggilingkan gandum sambil menangis. Lalu Rasulullah SAW bertanya tentang sebab yang membuatkan anakandanya mengalirkan air mata. Fatimah menjawab bahawa urusan rumahtanggalah yang membuatkan dia menangis. Fatimah kemudian meminta ayahandanya supaya memujuk suaminya iaitu Saiyidina Ali agar mencarikan seorang pembantu agar ringan pekerjaannya. Apabila mendengar permintaan Fatimah, Rasulullah SAW lalu mengambil gandum dan gilingan batu dari Fatimah. Baginda membacakan "Bismillahirrahmanirrahim" lalu gilingan tersebut bergerak dengan sendiri dan menggiling semua gandum sambil bertasbih memuji Allah SWT. Setelah beberapa lama, Rasulullah SAW lalu memerintahkan batu gilingan supaya berhenti.

Rasulullah SAW kemudian berkata kepada anakandanya, "Ya Fatimah, jika Allah SWT menghendaki, maka batu penggiling pasti akan berputar sendiri untukmu. Namun Allah SWT lebih ingin untuk menulis beberapa kebaikan dan dihapuskan beberapa kesalahan serta dinaikkan darjat ke atas kamu. Ya Fatimah, mana-mana perempuan yang
menggiling tepung untuk suaminya dan anak-anaknya, maka Allah SWT menuliskan untuknya dari setiap biji gandum yang digilingnya suatu kebaikan dan mengangkatnya satu darjat.

Ya Fatimah, perempuan mana yang berpeluh ketika ia menggiling gandum untuk suaminya maka Allah SWT menjadikan antara dirinya dan neraka tujuh buah parit. Perempuan mana yang menyapu minyak pada rambut anak-anaknya dan menyisir rambut mereka dan membersihkan pakaian mereka maka Allah SWT akan mencatatkan baginya ganjaran pahala orang yang memberi makan kepada seribu orang yang lapar dan memberi pakaian kepada seribu orang yang bertelanjang. Ya Fatimah, perempuan mana yang menghalang hajat jiran-jirannya maka Allah SWT akan menghalangnya dari meminum air telaga Kautsar pada hari kiamat.

Namun wahai anakku, apa yang lebih utama dari itu semua adalah keredhaan suami terhadap isterinya. Jikalau suamimu tidak redha denganmu maka tidaklah akan aku doakan kamu. Sesungguhnya redha suami itu adalah daripada redha Allah SWT dan kemarahannya pula datangnya dari kemarahan Allah SWT. Wahai Fatimah, apabila seseorang perempuan mengandungkan janin dalam rahimnya maka beristighfarlah para malaikat untuknya dan Allah SWT akan mencatatkan baginya tiap-tiap hari seribu kebaikan dan menghapuskan darinya seribu kejahatan. Apabila ia mulai sakit hendak melahirkan maka Allah SWT mencatatkan pula untuknya pahala orang- orang yang berjihad pada jalan Allah iaitu orang yang menyertai perang sabil. Apabila ia melahirkan anak maka keluarlah ia dari dosa-dosanya seperti keadaannya pada hari ibunya melahirkannya dan apabila ia meninggal dunia akibat hendak melahirkan anak, maka tiadalah ia meninggalkan dunia ini dalam keadaan berdosa sedikitpun, dan akan didapatinya bahawa kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga, dan Allah SWT akan mengurniakannya pahala seribu haji dan seribu umrah serta beristighfarlah untuknya seribu malaikat hingga hari kiamat.

Wahai anakku Fatimah, perempuan mana yang melayani suaminya dalam sehari semalam dengan baik hati dan ikhlas serta niat yang benar maka Allah SWT akan mengampuni semua dosanya dan Allah SWT akan memakaikannya satu persalinan pakaian yang hijau dan dicatatkan untuknya dari setiap helai bulu dan rambut yang ada pada tubuhnya seribu kebaikan dan dikurniakan Allah untuknya seribu pahala haji dan umrah. Ya Fatimah, perempuan mana yang tersenyum dihadapan suaminya maka Allah SWT akan memandangnya dengan pandangan rahmat. Perempuan mana yang menghamparkan hamparan atau tempat untuk berbaring atau menghias rumah untuk suaminya dengan baik hati maka berserulah untuknya penyeru dari langit iaitu malaikat, "teruskanlah amalmu. Allah SWT telah mengampunimu akan sesuatu yang telah lalu dari dosamu dan sesuatu yang akan datang". Ya Fatimah, perempuan mana yang menyapu minyak pada rambut suaminya serta janggutnya dan memotongkan kumisnya serta kukunya maka Allah SWT akan memberinya minuman dari sungai-sungai syurga dan Allah SWT akan meringankan sakaratulmaut terhadapnya, dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta Allah SWT akan menyelamatkannya dari api neraka dan selamatlah ia melintas di atas Titian Sirat."

Begitu lah kisah yang ayah ceritakan. Kemudian ayah sambung lagi nasihatnya padaku. Katanya, aku tak seharusnya merungut kerana kemudahan sudah banyak tersedia. Niat aku perlu di perbetulkan kembali ikhlas kerana Allah. Aku seorang kakak, maka aku seharusnya bersikap seperti seorang kakak. Walaupun penat, aku perlu ikhlas kerana Allah sudah menyediakan ganjaran untuk setiap penat dan lelahku nanti. Jika hanya masak untuk adik pun aku sudah mula marah kerana penat, bagaimana aku akan hadapi hidup berkeluarga suatu hari nanti. Sudah tentu aku akan lebih penat untuk menguruskan banyak hal. Suami, anak-anak, kerjaya, semua menuntut kesabaran dan tenaga yang bukan sedikit. Aku tunduk memandang lantai.

Ayah menepuk bahuku beberapa kali sambil meneruskan kata-katanya. Menurut ayah, aku seharusnya bersyukur di lahirkan sebagai seorang wanita. Kerana Allah SWT telah menyediakan terlalu banyak kelebihan untuk wanita yang tidak disediakan kepada kaum lelaki. Tuhan memberi cara yang amat mudah bagi wanita untuk menuju syurga. Namun nikmat itu tidak tersedia untuk kaum lelaki. Setiap keringat wanita yang menitis ada ganjarannya. Bahkan Allah Taala akan memberikan syurga pada setiap ibu bapa yang memiliki anak perempuan yang amat taat kepada suaminya selepas Allah dan Rasul. Subhanallah. Aku terdiam mendengar nasihat dari ayah. Hanya tangisan yang kedengaran mengenangkan sikapku yang kurang sabar.

Cerita dan nasihat ayah telah membuatkan aku kembali membuka mata hati dan minda. Buat adik tersayang, Malim Putra dan Malini, maafkan Kak Aini. InsyaAllah perkara seperti itu tidak akan berulang lagi. Untuk ayahanda tercinta, terima kasih untuk setiap nasihat dan bimbingan. Sesungguhnya Aini masih lagi tertatih-tatih untuk mengejar taraf wanita solehah. Kerana itu, Aini amat memerlukan bimbingan. Ya Rabbi, panjangkan usia kedua orang tuaku. Semoga mereka akan sentiasa mendapat kasih sayang-Mu. Kurniakan padaku pasangan hidup yang soleh dan beriman. Agar kelak aku dapat meniti hidup ini dengan bimbingannya setelah orang tuaku pergi mengadap-Mu. Agar jua nanti dia dapat membentukku menjadi seorang wanita dan isteri yang solehah. Pada semua kawan-kawan yang bergelar wanita, berdoalah dari sekarang untuk mendapatkan pasangan beriman, kerana lama kelamaan pasti doa kalian dimakbulkan. InsyaAllah.

Begitulah kisahnya bagaimana ayah yang aku kasihi memberikan nasihatnya. Boleh dikatakan setiap kali anak-anak melakukan kesilapan, ayah tidak segera melenting, tetapi diberinya nasihat dan didengarkan tentang kisah-kisah teladan supaya kami berfikir baik dan buruk sikap kami sendiri. Sekian...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan