Assalamualaikum, pembuka bicara...

Selamat datang ke laman blog saya. Semoga anda semua mendapat sedikit ilmu yang berguna dari blog ini. Segala kekurangan amatlah dikesali, kerana yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu datangnya dari diri saya sendiri. Semoga semuanya berada di bawah naungan redha Illahi. InsyaAllah..

Selasa, Februari 23, 2010

Andai suatu hari aku perlu terima lelaki dalam hidup, maka lelaki yang bagaimana harus aku terima..??


Salam untuk semua pengunjung blog ni. Kali ini, aku saja ingin berkongsi tentang perkara yang berlaku dalam hidup aku. Mungkin hal ini remeh bagi sesetengah wanita namun mungkin juga hal ini akan menjadi sesuatu perkara yang begitu diberi perhatian oleh sesetengah kaum Hawa. Aku ingin kongsikan tentang salah satu daripada jutaan nasihat yang diberikan oleh ayah kepadaku selama ini.

Pada cuti raya cina yang lepas, aku balik kampung. Satu hari, lepas solat asar, ayah dan mak tiba-tiba bertanya, "Aini dah umur 22 tahun kan?". Aku mulanya rasa hairan juga sebab ayah tanya tentang umur. Namun aku tetap anggukkan kepala. Tanda umur memang 22 tahun. Mak berseloroh dengan aku. "Tak ada buah hati ke? Kan dah besar panjang". Aku hanya senyum. Alahai mak tersayang, anak mak ni masih sendiri. Tak pernah terlintas nak berbuah hati. Mungkin saham pun kurang tinggi. Hehe.

Ayah yang tersenyum di hadapan tiba-tiba berkata. "Aini, dunia hari ini merupakan dunia yang penuh warna-warni. Ada warna yang suci, bercahaya, cantik, dan ceria. Namun ada juga warna yang kotor, gelap, buruk, dan suram. Hati-hatilah dalam memilih warna kehidupan agar sentiasa cantik, bersih, dan ceria. Biar warna pilihan dihiasi dengan cahaya iman. Warna-warna yang gelap, buruk, dan kotor ada di merata-rata tempat. Jangan sampai warna-warna ini mencacatkan keindahan yang kita nikmati". Aku tersenyum dan mengangguk perlahan tanda aku faham dengan apa yang tersirat di sebalik "madah warna" ayah.

Ayah kemudian menyambung lagi. "Setiap manusia yang diciptakan, Allah berikan kepada mereka perasaan ingin memiliki pasangan. Tidak kira lelaki atau perempuan, pasti inginkan pasangan untuk meneruskan hidup masing-masing. Ayah dengan mak sudah lebih dahulu merasai keinginan begitu. Ayah harap Aini akan pandai buat pilihan untuk menentukan pasangan Aini nanti". Aku pandang lagi wajah ayah dan mak. Kenapa ayah tiba-tiba cakap tentang hal pasangan hari ini. Biasanya tak pernah. Namun aku tidak pula bertanya melainkan satu perkara.

"Ayah, kalau suatu hari nanti, Aini perlu menerima seorang lelaki sebagai pasangan hidup Aini, maka lelaki yang bagaimana harus Aini pilih dan terima?". Hehe. Satu soalan yang aku sendiri tidak tahu sejak bila ia mula bersarang dalam hati. Ayah menepuk bahuku beberapa kali. Emak memandang dengan pandangan mata kasihnya yang redup.

Ayah menjawab. "Aini, kalau Aini nanti ingin mengambil keputusan untuk menerima lelaki dalam hidup, seeloknya yang pertama, Aini pilihlah lelaki yang beriman. Lelaki yang meletakkan Allah SWT sebagai yang utama, Rasulullah SAW sebagai yang kedua, kemudian barulah ibu dan bapanya. Kerana lelaki ini merupakan lelaki yang boleh membantu Aini mengejar gelaran wanita dan isteri solehah. Kemudian, pastikan lelaki itu ada sikap toleransi dan baik hati. Lelaki yang bertanggungjawab serta tahu peranannya untuk setiap perkara seperti yang ditetapkan dalam Islam. Jangan memilih lelaki hanya kerana rupa paras kerana rupa yang cantik akan hilang bersama arus masa. Jangan juga memilih lelaki disebabkan harta. Kerana harta itu bukan milik kita dan ia juga tidak pernah kekal lama. Keimanan dan hati budi itu penting agar hidup akan sentiasa mendapat rahmat dari Tuhan".

Itulah jawapan yang ayah berikan untuk pertanyaan aku. Satu jawapan yang pasti aku ingat sampai nanti aku akan betul-betul berhadapan dengan situasi untuk memilih dan menerima pasangan. Ayah kemudian meneruskan kata-katanya. "Untuk mendapatkan seorang pasangan yang beriman dan baik hati, Aini perlu melakukan penghijrahan. Hijrah untuk memperbaiki diri daripada seorang yang mentah, nakal, dan tak berapa solehah kepada sikap yang lebih baik. Ayah ingin sangat melihat Aini menjadi seorang gadis yang solehah. Contohilah puteri kesayangan Rasulullah SAW iaitu Fatimah Az-Zahra. Jadikan dia sebagai idola dan peribadinya sebagai teladan. Kerana Fatimah adalah seorang insan yang terkenal dengan sikap mahmudahnya serta kaya dengan ciri wanita solehah". Aku mengangguk lagi.

Ya Rabbi, berikan petunjuk dan kasih sayang-Mu kepadaku. Dalam melalui jalan kehidupan yang penuh duri dan liku hari ini, aku amat mengharapkan pimpinan dan pertolongan dari-Mu. Katakanlah bahawa aku akan menjadi seorang wanita yang solehah kerana setiap kata-kataMu adalah kata-kata yang membuahkan kenyataan. Kurniakan pasangan yang beriman kepadaku. Supaya dapat dia membentuk dan membimbingku menjadi wanita yang solehah sepertimana yang sentiasa diimpikan oleh setiap kaum Hawa. Amiinn.

Begitulah kisahnya yang ingin aku kongsikan. Tentang bagaimana ayah memberikan pendapat yang baik terhadap pemilihan pasangan. Semoga nasihat ayah ini akan turut membantu insan lain yang ingin mencari pasangan. Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan