Assalamualaikum, pembuka bicara...

Selamat datang ke laman blog saya. Semoga anda semua mendapat sedikit ilmu yang berguna dari blog ini. Segala kekurangan amatlah dikesali, kerana yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu datangnya dari diri saya sendiri. Semoga semuanya berada di bawah naungan redha Illahi. InsyaAllah..

Selasa, Februari 09, 2010

Aku Rindu Insan Di Bumi Mesir



Beberapa hari lepas, aku pergi ke Slim River untuk berjumpa dengan seorang hamba Allah. Sewaktu aku berada di tempatnya, aku terpandang sehelai baju hitam milik hamba Allah tersebut yang diletakkannya di atas kerusi tempatnya selalu duduk. Aku bukan hendak bercerita tentang baju tersebut. Tapi aku ingin bercerita bagaimana baju hitam itu telah memanggil rasa rinduku pada seorang insan yang amat aku sayang. Di baju hitam milik hamba Allah yang aku lihat sewaktu di Slim River, ada tersulam tulisan. Kalau aku tidak silap "UNIVERSITI AL-AZHAR". Tulisan itulah yang tersulam di baju tersebut.
Dan tulisan itu juga turut membuat rinduku pada abang semakin tinggi.

Ya, Universiti Al-Azhar yang terletak di bumi Mesir. Abangku, Mhd Khidir Ismail sedang bertungkus-lumus mencari ilmu di sana. Aku teramat rindu padanya. Sudah hampir dua tahun kami tak bersua. Sudah berlalu dua kali Aidilfitri tanpa dia di sisi. Aku hanya melihat air mata mak tiap kali berbual dengannya di corong telefon. Barangkali mak terlalu rindu. Abang Idir terlalu baik dan rapat dengan orang tua. Dia juga abang yang amat baik padaku. Andai rinduku padanya setinggi bukit, maka rindu mak dan ayah padanya setinggi gunung. Namun yang pasti, aku seringkali menghitung hari dan menanti dia kembali ke tanah air. Kepulangannya sentiasa dinanti.

Tiap kali aku bertandang ke Slim River, aku terpandang baju hitam itu. Dan tiap kali itu jugalah hatiku merindui Abang Idir. Walaupun kami sering berhubung, chating melalui YM, namun tetap tidak sama dengan berbual dan bergurau sewaktu dia ada bersama. Tahun ni, Abang Idir sudah berusia 24 tahun. Dua tahun lebih tua dariku. Hampir dua tahun aku bergelar pelajar UPSI, begitu juga dengan abangku ini. Hampir dua tahun dia bergelar pelajar Al-Azhar, Mesir. Ya Tuhan, aku amat rindu padanya.

Bila Abang Idir terbang ke Mesir, ketiadaannya amat dirasai. Hilang seketika satu suara seorang al-hafiz di rumah kami. Hilang sekejap seorang abang yang sentiasa menegur kesilapanku dalam mengalunkan ayat suci al-Quran setiap hari. Hilang sebentar seorang anak yang sering mengukirkan senyuman di wajah kedua orang tua kami. Ya Rabbi, masa terasa begitu lambat berlalu tiap kali aku menghitung kadar perjalanan waktu, menanti kepulangannya ke sisi kami. Demi kerana-Mu Rabbi, aku tanamkan rasa rindu pada abangku ini. Kerana hanya Engkau yang berkuasa menjadikan perhubungan antara kami adik-beradik harum mewangi.

Untuk Abang Idir, semoga tabah menghadapi setiap ujian Tuhan di sana. Setiap langkah kakimu adalah untuk mencari ilmu. Ingat apa yang ayah pernah nasihatkan pada kita? Ilmu itu adalah harta kita yang hilang. Maka kita perlu berusaha sebaik mungkin untuk mencarinya tanpa membelakangkan Yang Esa. Semoga cepat kembali ke tanah air dan ke pangkuan keluarga tercinta. InsyaAllah...

1 ulasan:

  1. Lebih Setengah Tahun Coretan Ini Ditulis, Tapi Hari Ini Baru Aku Jumpa Dan Aku Baca.. Masih 2 Hari Lagi Puasa Akan Tiba.. Menambahkan Lagi Kesayuan Hatiku Yang Telah Lama Tidak Bersua Dengan Keluarga, Aku Pun Merindui Mereka Yang Bergelar Saudara, Jauh Disanubariku Merindui Kedua Ibubapa Yang Ku Cinta, Abangku, Kakakku Dan Juga Adikku Semua Yang Tak Pernah Aku Lupa, Salam Sayang Dariku Insan Yang Mendambakan Kebahagian Sekeluarga, Semoga ALLAH Ta'ala Menghimpunkan Kita Semua Didalam SyugaNya.. Amin Ya Rab..!

    BalasPadam