Assalamualaikum, pembuka bicara...

Selamat datang ke laman blog saya. Semoga anda semua mendapat sedikit ilmu yang berguna dari blog ini. Segala kekurangan amatlah dikesali, kerana yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu datangnya dari diri saya sendiri. Semoga semuanya berada di bawah naungan redha Illahi. InsyaAllah..

Sabtu, Januari 02, 2010

Tahun Baru - Insan Semakin Hilang Pedoman

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, dan bulan berganti tahun. Detik berlalu tanpa sempat kita hitung. Sedar tak sedar kita sekali lagi melangkah ke tahun baru. Selamat tahun baru 2010 kepada semua sahabat handai dan sesiapa sahaja yang melayari blog ini. Semoga tahun baru ini akan dilayari dengan azam dan semangat yang baru.

Bercakap tentang tahun baru, ada sesuatu yang amat dikesali apabila melihat sikap manusia hari ini. Sambutan tahun Masihi lebih meriah jika dibandingkan dengan sambutan tahun baru Maal Hijrah. Sedangkan kita hari ini hidup dan bernafas dalam sebuah negara Islam. Anak-anak muda bahkan yang sudah berusia masing-masing tidak melepaskan peluang menunggu detik 12 malam menantikan tahun baru 2010. Konsert dan pesta berlaku di mana-mana. Bunga api menghias angkasa. Namun jika ditanya tahun ini adalah tahun Maal Hijrah yang ke berapa, aku cukup yakin ramai yang tidak tahu jawapannya. Bahkan jika diminta menyebut bulan-bulan Islam sekalipun, masih ada yang tergagap-gagap menjawabnya.

Apakah ini lambang kita sebagai masyarakat Islam. Berteriak dan bersorak bagai orang yang hilang pedoman. Berpelukan antara lelaki dan perempuan tanpa rasa takut pada Allah yang Maha Melihat. Ke mana perginya rasa tanggungjawab setiap lelaki yang tercipta sebagai pemimpin? Ke mana jua hilangnya rasa malu yang seharusnya menghiasi peribadi wanita sebagai hamba yang perlu dipimpin? Masing-masing bergembira dan berseronok tanpa sedikit pun mereka sedar, bahawa iblis dan syaitan juga turut bergembira di atas setiap kelalaian mereka. Penghuni langit juga segan dan malu dengan apa yang telah manusia lakukan. Manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah, namun manusia hari ini sudah tiada lagi rasa malu dan takut pada Allah.

Ayuhlah saudara seagamaku. Marilah bersama-sama kita kembali ke landasan yang asal. Jalan yang lurus dan benar. Mengapa dikejar keseronokan yang bertopengkan maksiat semata-mata. Tidak tercatat walau satu pun keuntungan di sebalik keseronokan seperti itu. Bahkan akan terus mengheret kita yang sudah sedia dhaif ke jalan yang salah. Kembalilah pada apa yang disarankan oleh agama kita, supaya di padang masyar kelak lidah kita tidak akan tergagap-gagap untuk menjawab setiap persoalan yang diberikan oleh Allah Taala terhadap apa yang telah kita lakukan di dunia hari ini. Sedangkan di akhirat nanti, Nabi Allah Adam a.s takut dan bimbang dengan kesilapannya melanggar arahan Allah supaya tidak mendekati pohon khuldi, Nabi Musa a.s juga sedih dan risau dengan dosanya yang telah membunuh nyawa manusia, dan Nabi Ibrahim juga khuatir dengan keadaan dirinya, inikan pula kita sebagai manusia biasa yang tidak memiliki kedudukan istimewa di sisi Tuhan. Kita bukan Nabi dan Rasul, kita juga bukan dari kalangan Wali dan Ulama. Namun sikap kita hari ini lebih teruk dari insan-insan mulia ini. Seolah-olah kita bagai dijamin dengan syurga oleh Allah. Sedangkan Rasulullah s.a.w yang sangat dicintai oleh Yang Esa dan dijamin syurga sering sujud dan beristighfar memohon keampunan, mengapa tidak kita ikut cara Baginda? Bukankah Muhammad s.a.w itu Rasul yang diutuskan oleh Allah kepada kita?

Pasti akan ada yang mengatakan aku tidak seharusnya membandingkan manusia hari ini dengan golongan Nabi serta manusia yang tinggi imannya dan zuhud pada dunia, namun bukankah kita semua adalah manusia. Allah tidak akan memandang hambanya dari segi rupa, kekayaan atau kedudukan, tapi Allah memandang setiap hambanya dari segi ketinggian iman mereka. Jika hari ini, kita masih ingin memberi alasan, apakah setiap alasan kita hari ini berguna untuk membantu kita di hari perhitungan nanti? Setiap manusia tiada yang sempurna. Semua melakukan kesilapan dan dosa. Namun Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Keampunan Tuhan itu lebih besar dari setiap kesalahan Insan. Aku sendiri juga seorang hamba yang terlalu banyak dosa dan seringkali melakukan kesilapan kerana ceteknya ilmu dan pemikiran. Nafsu yang seharusnya dielakkan sering menjadi johan. Namun, keinsafan dalam diri akan membantu kita kembali pada jalan yang asal seandainya kita benar-benar ikhlas dan redha. InsyaAllah...


1 ulasan:

  1. salam..
    saya suka kata2 kat atas tu. mmg menarik kata2 tu. harap semuanya faham dan dapat membantu perjalanan hidup ni..

    BalasPadam