Assalamualaikum, pembuka bicara...

Selamat datang ke laman blog saya. Semoga anda semua mendapat sedikit ilmu yang berguna dari blog ini. Segala kekurangan amatlah dikesali, kerana yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu datangnya dari diri saya sendiri. Semoga semuanya berada di bawah naungan redha Illahi. InsyaAllah..

Ahad, November 08, 2009

Salam Perkenalan

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua taulan yang mengunjungi blog aku yang banyak kekurangan. Sebenarnya sudah lama aku berhasrat untuk memiliki blog sendiri kerana memikirkan banyak benda berfaedah yang boleh aku kongsikan bersama sahabat dan sesiapa sahaja di luar sana. Namun kekangan masa yang sentiasa tidak mengizinkan dan masalah kesihatan yang menjadi halangan membuatkan keinginanku sering tergendala.

Alhamdulillah, kali ini Allah s.w.t telah menganugerahkan kesihatan yang baik dan kesempatan kepadaku. Maka sewajarnya aku mengambil kesempatan ini untuk memiliki blog yang sekian lama aku impikan, apatah lagi tuhan memang telah membukakan pintu hatiku untuk menyertai ruangan ini. Memang seharusnya aku bersyukur pada Allah Rabbul Izzati di atas setiap peluang yang diberikan. Semoga aku tidak akan terus lalai dan hanyut dalam arus dunia yang melekakan setiap hamba.

Seringkali aku bersendirian dan merenung percaturan hidup yang telah ditetapkan oleh Yang Esa. Terkadang wujud satu perasaan yang amat menggetarkan jiwa apabila mengenangkan bahawa aku seringkali leka dan gagal menjadi hamba-Nya yang solehah. Di mana saja aku berada, aku merasakan diri masih leka dalam buaian angan. Tujuan hidup terasa gelap gelita kerana hati yang tidak pernah bersih dari noda. Sentiasa aku menoleh pandang pada keindahan yang tak layak untuk aku capai walau dapat aku hidup dan beramal berpuluh ribu tahun sekalipun. InsyaAllah, semoga kita semua akan dipilih untuk menjadi penghuni syurga ALLAH yang teramat indah.

Aku hilang kawalan sewaktu fikiran buntu memikirkan kehidupan. Hatiku membisikkan kata-kata yang menghantui hidup di masa hadapan. Aku masih mencari di mana silapnya walaupun aku sedar kesilapan itu ada di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Terkadang aku memikirkan alangkah baiknya jika aku diciptakan sebagai burung yang terbang bebas tanpa sebarang dosa atau pahala. Atau sepohon kayu yang boleh berbakti tatkala tiba musimnya. Atau air yang mengalir tenang tanpa perlu berfikir tentang arah tujuannya. Ya, memang aku sering terfikir seperti itu sehingga beberapa kali aku beristighfar. Bukan aku tidak bersyukur diciptakan sebagai manusia, namun perasaan takut itu lebih kuat menguasai diri kerana walaupun manusia merupakan sebaik-baik ciptaan, namun manusia juga merupakan seangkuh-angkuh ciptaan Tuhan. Dengan sombongnya manusia menerima amanah dari ALLAH s.w.t sebagai khalifah di muka bumi ini, namun manusia juga dengan megahnya mengingkari amanah yang diberi. Dan aku adalah manusia sama seperti yang lain.

Semoga kita semua tidak akan terus leka dan hanyut dengan keseronokan sementara. InsyaAllah aku akan sentiasa berkongsi apa sahaja pengalaman yang berguna untuk sama kita jadikan iktibar dan pengajaran. Agar hayunan kaki kita tidak akan terus terpesong meninggalkan jalan ALLAH s.w.t yang lurus lagi bercahaya. Semoga ALLAH s.w.t akan sentiasa memimpin setiap hamba-Nya menuju ke jalan yang diredhai. Amin..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan